- Orang yang sakit, yang hampir menghembuskan nafasnya yang akhir, hendaklah dihadapkan ke kiblat,
dibaringkan di atas labungan yang kanan, mukanya dan dadanya dihadapkan ke kiblat, kalau tidak boleh telentangkan akan dia, dua tapak kaki halakan ke kiblat.
- Hendaklah diajarkan mengucap kalimah tauhid dengan tidak bertubi-tubi, tetapi jika ia berkata dengan kalimah (perkataan) yang lain, hendaklah diajar balik dengan kalimah tauhid.
- Dibacakan surah Yassin dan surah Al-Ra'du.
- Apabila telah mati (yakin matinya), hendaklah ditutup matanya, diikat dagunya supaya jangan terbuka mulutnya, dilembutkan sendi-sendinya dengan minyak, ditutup seluruh badannya dengan kain dan diletakkan di tempat yang tertinggi, umpamanya di atas katil, dan diletakkan di atas perutnya benda-benda yang beratnya satu lb.
- Ahli-ahli mayat itu hendaklah berikhtiar membayarkan hutangnya daripada harta peninggalannya atau daripada pertolongan ahli-ahli mayat itu atau seorang waris atau orang lain membuat pengakuan (berikrar) membayar akan hutangnya.
- Hendaklah disebutkan kebaikannya dan mendoakan keampunan baginya.
Manakala mati seseorang islam, maka wajiblah di atas orang-orang yang hidup sebagai fardhu kifayah menyelenggara empat perkara ke atasnya (mayat):
1. Memandikan
2. Mengkafankan
3. Menyembahyangkan
4. Mengkebumikan
Peringatan:
Semua perbelanjaan bagi menguruskan perbelanjaan ini daripada harta peninggalannya (si mati) kecuali isteri, maka wajib atas suaminya, anak kecil wajib ke atas bapanya, sekiranya tidak ada, maka tertanggunglah ke atas Baitulmal, sekiranya Baitulmal pun tak ada juga, maka tertanggunglah ke atas orang Islam yang kaya.
Memandikan Mayat
Sekurang-kurangnya mandi bagi mayat itu ialah meratakan air ke seluruh anggota badannya, setelah disuci najis-najis, yang sebaik-baiknya : Dimandikan di tempat yang suci, sekiranya ada yang memandikan dan penolongnya sahaja yang berada di tempat itu.
- Dimandikan di tempat yang tinggi yang telah disediakan kerananya.
- Ditutup mayat itu dengan kain yang menutup kesemua bahagian diantara pusat dan lutut sahaja.
- Orang yang memandikan mayat atau penolongnya hendaklah memakai sarung tangan.
- Mula-mula digosok giginya, mulutnya, dibersihkan najis-najis yang keluar dan disisir rambutnya.
- Diambilkan wuduk ke atasnya.
- Dijiruskan air ke atas lambung kanan setelah dibaringkan di atas lambung kiri kemudian dibaringkan ke atas lambung kanan dan dijirus air di atas lambung kiri.
- Dibasuh 3 kali atau 5 kali atau lebih dengan air sejuk.
- Elok dipakai sabun atau sebagainya.
- Basuhan yang penghabisan elok dicampur dengan kapur barus dan bau-bauan yang harum
- Apa-apa yang tercabut atau yang gugur dimasa mandinya, seperti rambut dan sebagainya, hendaklah disimpan dan diletakkan di dalam kafan bersama dengan mayat itu.
Peringatan:
Kanak-kanak lelaki yang masih qoulub (belum berkhatan), hendaklah dibuka dan dicuci, jika boleh dan senang, dan jika tidak hendaklah ditayamumkan sahaja.
- Lelaki tidak boleh memandikan mayat perempuan kecuali isteri atau muhrimnya.
- Perempuan tidak boleh memandikan mayat lelaki kecuali suaminya atau muhrimnya.
- Yang lebih utama memandikan mayat perempuan ialah kerabatnya yang perempuan, kemudian perempuan-perempuan yang bukan kerabatnya, kemudian suaminya, demikian juga kepada mayat lelaki kerabatnya yang lebih berhak, kemudian lelaki yang bukan kerabatnya.
- Sekiranya berlaku kematian seorang perempuan, dan di tempat itu tidak ada seorang perempuan pun, maka hendaklah ditayamumkan dan tidak boleh dimandikan oleh lelaki, demikian juga suaminya.
- Manakala bagi mayat kanak-kanak pula, samada lelaki atau perempuan boleh memandikan.
- Haram dimandikan mayat yang mati dalam perang Sabilillah.
- Haram menaruh bau-bauan kepada yang mati di dalam ihram.
- Haram ditutup muka perempuan dan kepala lelaki bagi orang yang mati di dalam ihram.
- Juzuk mayat orang Islam wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan.
Dikafankan mayat dengan pakaian yang boleh dipakainya di masa hidupnya dan berwarna putih lebih elok; kain sutera boleh digunakan untuk mengkafankan mayat perempuan sahaja.
Sekurang-kurang kafan ialah satu lapis sahaja, demikian juga pada kanak-kanak, dan harus ditambah di bawah balut itu, serban dan baju labuh, dan yang sempurna bagi perempuan lima, iaitu kain pinggang, kain tudung, baju dan dua lapis kain balut.
CARA-CARA MENGKAFANKAN MAYAT
Disediakan satu tikar dan satu bantal, kemudian dibentangkan kain kafan yang tiga lapis atau dua lapis itu sehelai demi sehelai dan lapisan yang tersentuh dengan mayat itu, hendaklah ditaburkan dengan bau-bauan yang telah disediakan dan dipercikkan air mawar, kemudian letakkan mayat di atas kain itu dan ditampal mukanya, telinganya, punggungnya, tapak tangan dan tapak kakinya dengan kapas, kemudian dibalut hingga habis lapis balut itu.Kain balut hendaklah diikat di hujung kepalanya, di tempat letak tangannya, di kemaluannya, di lututnya dan di hujung kakinya, ikatan di kemaluannya disimpul di tengah-tengah. Adapun serban, baju labuh (Qamis), kain dan tudung kepala dipakaikan sebelum dibalut.
Peringatan :1. Makruh dikafankan mayat itu dengan kain yang mahal.
2. Kain yang telah dibasuh lebih baik daripada kain yang baru.
3. Ikatan kain balut hendaklah dilonggarkan simpulannya apabila mayat yang telah dibaringkan di dalam kubur.
Comments