Assalamualaikum dan selamat sejahtera..
Kali ini saya ingin berkongsi sedikit dengan anda tentang masalah disiplin yang melanda sebilangan besar pelajar-pelajar kita di sekolah khususnya. Sebenarnya masalah disiplin bukan sahaja wujud di sekolah bahkan di mana-mana sahaja. Masalah disiplin juga wujud di tempat-tempat kerja, di sesebuah organisasi sama ada kecil mahupun besar, malah di dalam rumah tangga sendiri pun wujud masalah disiplin.
Cuma apa yang nak saya fokuskan ialah masalah disiplin di sekolah kerana saya lebih dekat dengan perkara itu. Saban hari dari bermula loceng berbunyi tanda masuk ke kelas sehinggalah loceng pulang tengahari ataupun bagi sekolah yang mempunyai dua sesi loceng di sebelah petang sekitar jam 6.45 petang akan berlaku seribu satu macam peristiwa yang melibatkan guru dengan pelajar. Secara umumnya di kebanyakan sekolah akan menghadapi senario yang sama setiap hari. Jangka masa lebih kurang 6 atau 7 jam di sekolah akan memperlihatkan pelbagai peristiwa berlaku. Tidak dinafikan tujuan pelajar datang ke sekolah adalah untuk belajar namun jika ditanya dan lebih mengkhusus mereka tidak jelas apa maksud sebenar 'belajar'. Bukan menuding jari menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Proses pembelajaran ini terlalu luas.
Ramai pelajar yang telah berjaya dan tidak kurang juga yang gagal. Belajar seolah-olah seperti satu perjudian dan juga satu pelaburan jangka panjang. Jika tidak berhati-hati, leka, cuai dan lalai maka apa yang ditanam hari ini tidak akan 'menjadi'. Salah satu faktor yang boleh menyebabkan kegagalan adalah masalah disiplin di kalangan pelajar yang sentiasa menjadi perbualan hangat dan menjadi topik utama di akhbar-akhbar arus perdana.
Bila bercakap tentang masalah disiplin pelajar ini sebenarnya akan membabitkan banyak pihak. Masing-masing akan menuding jari kepada orang lain dan cuba mempertahankan diri masing-masing bahawa mereka tidak bersalah! Saya melihat masalah disiplin yang melanda pelajar setiap hari dengan tanda tanya. Tidak dinafikan bukan semua pelajar terlibat dengan masalah disiplin. Ramai pelajar yang berakhlak, bersopan-santun, menghormati guru dan sebagainya namun segelintir pelajar yang bersikap negatif ini seolah-olah menutup segala kebaikan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar lain. Umpama peribahasa Melayu 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. Susu yang putih bersih ternyata rosak dek nila yang tumpah setitik sahaja dan susu tidak boleh digunakan lagi.
Mengapa ye pelajar-pelajar sekarang begitu berani memaki guru, mengeluarkan perkataan-perkataan lucah dan mencarut, keluar kelas ikut suka walau guru sedang mengajar di depan kelas, tidur dalam kelas, tidak patuh arahan guru, tidak buat kerja sekolah, mengugut guru, menengking guru dan sebagainya. Itu di antara masalah disiplin di antara pelajar dengan guru belum lagi masalah di antara pelajar dengan pelajar, pelajar sekolah A dengan pelajar sekolah B, pelajar sekolah dengan remaja yang telah tidak bersekolah lagi, dan seribu satu macam bentuk masalah yang melanda generasi pelajar kita.
Belum lagi kita teroka masalah pelajar yang terlibat dengan rokok, dadah, arak, seks, mencuri, pecah rumah, lumba motor haram, berjudi, bergaduh dan macam-macam lagi lah! Aduh! mengapa sampai begitu sekali generasi pelajar masa kini? Apa yang tak kena agaknya? Salah keluarga ke? Atau salah pihak sekolah ke? Atau salah pelajar itu sendiri? Kalau dulu orang kata hantar anak ke sekolah agama akan membentuk peribadi baik dan mulia tetapi ramai juga pelajar-pelajar yang dari aliran agama terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral. Kalau sekolah harian jangan cakaplah! Sekolah berasrama? Tidak kurang juga pelajar-pelajar sekolah berasrama yang terlibat dengan masalah disiplin. Maka jadi satu tandatanya di mana silapnya sehingga pening kepala dibuatnya untuk menyelesaikan masalah disiplin pelajar kini.
Jika di sekolah personalia yang paling pening ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dikenali sebagai PK HEM, Guru disiplin dan juga Guru Kaunseling. Ada di antara ketiga-tiga personalia ini yang mengalami tekanan darah tinggi akibat dari menghadapi masalah-masalah disiplin pelajar.
Pada saya masalah disiplin pelajar ini adalah berpunca dari banyak sebab walaupun tidak dinafikan ia juga berpunca dari sikap pelajar itu sendiri. Jika kita lihat masalah jenayah yang berlaku tentu ada sebab mengapa ia berlaku. Pada saya, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar masa kini mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan corak dan gaya hidup masa kini. Gaya hidup sekarang begitu kuat pengaruhnya dan jika seseorang pelajar tidak mempunyai kekuatan dalaman maka akan rosaklah peribadi pelajar. Saya pernah menjalankan sesi kaunseling dengan seorang pelajar perempuan yang baru berusia 14 tahun. Pelajar ini memang cukup bermasalah di sekolah. Guru disiplin juga seperti sudah putus asa dan tugas saya pula untuk membantu pelajar ini. Dari apa yang diceritakan oleh pelajar ini, dia berasa tertekan berada di rumah dengan keadaan keluarga yang porak peranda, abang yang selalu memukul, emak ayah yang sibuk mencari duit. Maka pelajar ini cari jalan mudah untuk meredakan tekanan dengan bercampur gaul dengan remaja yang tidak bermoral. Kalau kita lihat dan perhalusi senario ini, ia berlaku di mana-mana. Bukan jadi perkara pelik lagi. Namun apa yang saya ingin tekankan ialah, faktor-faktor penyebab. Anak bermasalah sebab keluarga, keluarga bermasalah sebab tekanan hidup. Tekanan hidup kerana keadaan sekarang yang sememangnya begitu memberikan tekanan sama ada dari segi ekonomi, dan sebagainya. Kita terpaksa mengorbankan banyak perkara semata-mata untuk memenuhi kehendak kehidupan masa kini.
Mungkin ada yang akan mempersoalkan mengapa ada anak-anak orang berada juga terlibat dengan masalah disiplin sedangkan mereka tidak mempunyai masalah kewangan pun jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang datang dari keluarga yang kesempitan hidup. Sebenarnya memang tidak dinafikan sama ada keluarga kaya ataupun miskin, kedua-duanya turut menyumbang dengan faktor tersendiri. Saya rasa faktor ekonomi sesebuah keluarga itu menjadi faktor utama dalam penyebab masalah disiplin ini di samping beberapa faktor yang lain. Sesebuah keluarga yang mempunyai ekonomi yang kukuh mampu untuk memenuhi keperluan ahli keluarganya begitu juga sebaliknya. Masa yang berkualiti di kalangan keluarga dapat dipenuhi manakala bagi sebuah keluarga lagi masa berkualiti perlu dikorbankan untuk menampung keperluan ekonomi keluarga seperti melakukan kerja sampingan di waktu malam dan sebagainya. Kita tidak boleh menyalahkan keluarga yang ingin menambah pendapatan keluarga kerana sememangnya kehidupan sekarang semakin mendesak dengan kenaikan harga barang keperluan yang semacam tidak terkawal.
Seperti saya katakan tadi, sukar untuk menentukan silap siapa masalah disiplin di kalangan pelajar semakin menjadi-jadi kerana ia akan berkait-kait sehingga kepada peringkat yang paling tinggi sekali. Pada saya pihak yang amat memainkan peranan penting bagi mengurangkan masalah disiplin pelajar ialah ibu bapa sendiri. Walaupun miskin atau kaya, jika anak-anak diberi pengisian rohani dan kasih sayang yang mencukupi serta tahu batas-batas yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kehidupan, ada ketegasan dan ada kelembutan, tahu tujuan mengapa hidup di dunia ini insyaAllah pelbagai masalah akan dapat diselesaikan. Cuba kembali ke landasan yang betul yang selama ini kita mungkin tersasar.
Comments