SEDEKAH
BANJIR yang menimpa penduduk di beberapa buah negeri baru-baru ini benar-benar menginsafkan kita. Kita bersyukur apabila warganegara kita terus peka dan prihatin dalam menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada semua mangsa terbabit, bukan saja kerajaan, malah pihak badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang perseorangan.
Islam sendiri membawa kepada prinsip berbaik-baik sesama manusia. Al-Quran dan sunnah banyak menggariskan amalan mendorong manusia berbuat baik sesama manusia.
Tujuannya adalah untuk melahirkan insan sejahtera, keluarga bahagia, masyarakat penyayang, negara aman dan bersatu.
Rasulullah adalah sebagai qudwah hasanah melaksanakan konsep sedekah sebagai pelaksana pelbagai bentuk kebaikan. Baginda menganjurkan setiap pergerakan sendi manusia itu dikira sebagai sedekah dan sedekah itu dikira sebagai kebaikan, dan setiap kebaikan diberi nilai yang tinggi.
Konsep setiap amar makruf adalah sedekah dinyatakan oleh Baginda terhadap segala kebaikan dilakukan manusia. Justeru, ramai di kalangan manusia yang berpeluang untuk memperoleh kelebihan pahala memandangkan ia terlalu mudah dilaksanakan tetapi perlu dengan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dengan sempurna di samping keikhlasan dan keinsafan dalam diri masing-masing.
Rasulullah dalam hadis Baginda diriwayatkan oleh Bukhari bersabda bermaksud: “Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu berbahaya di jalanan adalah sedekah.
Setiap kebaikan yang dilakukan sama ada dalam bentuk spritual dan fizikal sebenarnya sedekah.
Amalan sedekah juga lambang kebenaran iman kerana makna sedekah itu sendiri bermaksud ‘benar’.
Orang bersedekah adalah mereka yang benar dan mempercayai kebenaran ajaran Islam yang suci.
Setiap orang yang benar dan berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat. Orang bersedekah adalah dermawan, manakala si bakhil seteru Allah.
Keberkatan yang lahir daripada sedekah terlalu banyak, namun apa dinyatakan ini jelas terpapar daripada wajah orang bersifat murah hati ini apabila dia melalui beberapa peringkat hidupnya.
Daripada konsep sedekah itu sendiri al-Sunnah menggariskan suatu keterangan iaitu berkaitan ganjaran pahala berganda bagi penganjur amalan baik dan makruf, di samping dosa berganda pula bagi mereka yang menganjur amalan keji dan maksiat.
Rasulullah dalam sebuah hadis Baginda diriwayatkan oleh Muslim dan al-Nawawi, Baginda bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang memulakan satu amalan baik dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukan kebaikan itu selepas ia mati tidak dikurangkan walaupun sedikit. Dan sesiapa yang memulakan satu amalan buruk dan keji yang melakukan amalan itu selepas kematiannya, maka tidak sedikitpun dosa amalan itu dikurangkan.”
Sebuah lagi hadis Rasulullah turut menyentuh konsep sedekah ini iaitu hadis diriwayatkan oleh Abu Dzar.
Beliau menceritakan mengenai beberapa orang sahabat Nabi berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, orang kaya mendapat banyak pahala. Mereka solat seperti kami bersolat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah dengan harta mereka yang lebih. Rasulullah bersabda: “Tidakkah Allah menjadikan sesuatu untuk kamu bersedekah?
Sesungguhnya setiap satu tasbih adalah sedekah, setiap satu takbir adalah sedekah, setiap satu tahmid adalah sedekah, setiap satu tahlil adalah sedekah, setiap suruhan makruf adalah sedekah. Sahabat berkata, ya Rasulullah, adakah jika salah seorang dari kami memenuhi syahwatnya, dia diberikan pahala? Rasulullah menjawab: “Hendaklah kamu ingat bahawa jika sekiranya dia melepaskannya pada yang haram, tidakkkah dia akan berdosa? Maka demikianlah, jika dia melepaskan syahwatnya pada yang halal nescaya dia akan mendapat pahala.”
Kedua dari segi perolehan pahala berganda, Islam tidak pernah melihat kepada taraf kedudukan atau dari aspek kaya dan miskin seseorang itu, kerana setiap insan mukmin sentiasa mempunyai peluang memperolehnya.
Sesungguhnya konsep bersedekah adalah suatu motivasi yang cukup kuat kepada seseorang untuk menjadikan diri mereka lebih sempurna dan menjadi Muslim sejati yang mempunyai keperibadian unggul serta menjadi contoh ikutan umat yang lainnya.
Comments