Tidurlah Dengan Nama Tuhanmu
Imam Ibn Qayyim pernah berkata: "Sesiapa yang meneliti cara tidur dan jaga Rasulullah saw, akan mendapati bahawa tidur baginda adalah yang paling seimbang dan paling bermanafaat untuk badan, anggota dan kekuatan. Baginda tidak pernah tidur lebih dari kadar yang dihajati dan tidak pernah mencegah dirinya daripada kadar keperluannya."
Rasulullah saw biasanya mengatur waktu tidurnya: "Sehampir-hampir Allah kepada hamba-Nya ialah di bahagian akhir malam. Dan sekiranya kamu berkuasa untuk menjadikan diri kamu salah seorang yang mengingati Allah di waktu ini maka lakukanlah." (Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Hendaklah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan amalan orang-orang yang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam itu mendekatkan diri kepada Allah, menutup segala dosa, menghilangkan penyakit kepada tubuh badan dan menjauhi kekejian." (Hadith Riwayat Tarmizi)
Dalam kitab Mishkatul Masabih ada disebutkan: Tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah saw ada juga melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajud di malam hari.
Ibn Qayyim menambah: "Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar)."
Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur diwaktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya: "Bangun! Apakah kamu tidur diwaktu rezeki dibahagi-bahagikan?"
Setengah ulama mengatakan: "Sesiapa yang tidur selepas Asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain daripada dirinya sendiri."
Itulah sedikit cebisan ilmu yang telah diperturunkan kepada kita daripada Junjungan tercinta Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama ul-amilin. Ambillah iktibar, amalkanlah, dan kalau tak dapat buat semua jangan tinggalkan semua. Buatlah sedikit demi sedikit tapi biarlah istiqamah kerana amalan yang sedikit itu tetapi istiqamah disertai dengan roh dalam amal kita itu lebih disukai oleh Allah SWT.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk,hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri.”
Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang.
Kesan Mengantuk Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti
Banyak kes-kes kemalangan dilaporkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur. Justeru itu kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya.
Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun. (Dr. Stanley Coren; ‘Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,’Psychiatric Times, March 1998)
Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melaporkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun. (Dr. Stanley Coren;Ibid)
Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan karbohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); ‘Naps: The Art of Snoozing’)
Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan ‘Lancet’ pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)
Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah
Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerehatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda’ yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: “Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: “Benarlah Salman.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan.
Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: “Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.
Tidur secara yang munasabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.
Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab Misykatul Masabih disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: “Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailullah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya.”
Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin telah berkata: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor.”
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.
Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti."
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau 'a secondary sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.'
Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini. (Laporan saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti berdasarkan kajian 22 tahun) .
Comments