Tiga Golongan Perosak Muslim
oleh:awangpaker
Sesungguhnya di dalam Al-Quran terdapat banyak pengajaran daripada kisah-kisah yang telah diceritakan dan terdapat cerita yang diulang-ulang. Pengulangan kisah ini bukan bermaksud Allah kekurangan `modal`. Akan tetapi pengulangannya itu mengandungi pengajaran untuk kita semua menghayatinya. Seperti ayat 13 surah Ali Imran yang bermaksud:
"Sesungguhnya dalam kisah-kisah itu terdapat ibrah, pengajaran bagi orang-orang yang berfikir"
Melalui peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Al Quran, Allah ingin menunjukkan tiga sifat perosak kepada manusia ataupun jin.
Pertama ialah sikap sombong seperti kisah penciptaan Nabi Adam a.s yang mana Iblis tidak mahu menyembah Adam lalu berkata:
''Aku lebih baik daripada dia, aku diciptakan daripada api, sedangkan dia diciptakan daripada tanah."
Sifat sombong adalah kerana menolak kebenaran dan memandang rendah kepada orng lain. Dosa sifat ini tidak akan diampunkan oleh Allah sehngga kita bertaubat. Rasullullah pernah bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan''
Sebagai contoh, negara akan kacau jika penguasanya merasa lebih terhormat dan mulia berbanding dengan rakyat yang dipimpinnya. Jika penguasa berasa diri mereka hebat sehingga merasakan tidak perlu saranan apa lagi kritikan maka perasaan inilah yang membinasakan Firaun dan Namrud seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Penguasa yang bengis dan sombong, di telunjuknya adalah hukuman dan di mulutnya pula adalah undang-undang. Ertinya tanpa ada pilihan lain, rakyat terpaksa tunduk dan patuh kepada penguasa yang zalim. Sehinggalah penguasa yang tidak melaksanakan perintah Allah ini akan dihancurkan oleh kerana perbuatan diri sendiri.
Di dalam surah Al Nahl ayat 23 pula:"Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong."
Sifat perosak kedua pula adalah serakah. Sifat ini menjadikan manusia sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada pada dirinya. Di dalam Al-Quran telah dinyatakan kisah Nabi Adam dan Hawa yang mana Allah telah memberikan pelbagai kemudahan, kesenangan dan kenikmatan yang tiada tandingan di syurga kecuali janganlah mereka memakan buah kuldi. Larangan ini dilanggar yang akhirnya mendatangkan kemurkaan Allah. Apa yang hendak disampaikan di sini bukanlah keburukan Adam akan tetapi adalah sifat serakah yang mengheret Adam dan Hawa dari singahsana syurga.
Sifat ketiga adalah hasad. Di dalam quran, diceritakan kisah Qabil membunuh saudaranya Habil kerana hasad dengkinya terhadap Habil yang mempunyai seorang isteri yang lebih cantik. Sifat hasad menyebabkan seseorang memandang apa yang dimiliki orang lain sentiasa lebih menarik daripada yang dimilikinya.Sebagai contoh, ketika jirannya memiliki sebuah kereta baru, maka tergelegaklah hatinya. Pertama-tamanya ia akan mengembangkan sifat su'uzannya,dengan penuh selidik ia menyangka bahawa ianya dari usaha yang tidak halal. Seterusnya orang yang bersifat hasad merasakan tidak suka orang lain mendapat nikmat dan rezeki, sehinggakan ada yang sanggup untuk memusnahkan nikmat itu.
Rasulullah bersabda,: "Waspadalah terhadap hasad, sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala seperti api memakan kayu".
Penyakit hati amat berbahaya. apabila hati sentiasa gelisah jika orang lain mendapat kebahagian. Orang yang bersifat hasad juga amat berbahaya kerana dia akan melakukan apa-apa jenayah untuk melenyapkan nikmat yang diberikan Allah kepada orang lain. Setiap negara dan bangsa mengandungi tiga golongan terbabit,iaitu penguasa,pengusaha dan rakyat jelata. Jika penguasanya sombong, pengusahanya serakah, dan rakyatnya iri hati maka hancurlah negara tersebut.
Comments