Skip to main content

Saat Wafat Nabu Muhammad s.a.w

Setelah Dakwah al-Islamiah sempurna dan Islam menguasai suasana maka tanda-tanda dan bahasa-bahasa pengucapan selamat tinggal kepada dunia dan manusia mula tertera di dalam ungkapan-ungkapan dan ucapan-ucapan Rasulullah (s.a.w) melalui perbualan dan perbuatan Baginda.

Di dalam bulan Ramadhan tahun ke sepuluh Hijrah Baginda beriktikaf di masjid selama dua puluh hari, sedang sebelum ini hanya sepuluh hari sahaja, di dalam tempoh ini Jibrail (a.s) mendatangi Baginda untuk membuat ulangan dan tadarus al-Quran sebanyak dua kali. Di dalam Hajjah al-Wada' Baginda telah menyebut: "Sebenarnya berkemungkinan aku tidak akan menemui kamu lag! selepas pertemuan kita di tahun ini". Semasa di Jamrah al-Aqabah Baginda berkata : "Ambillah peribadatan haji ini dariku, boleh jadi aku tidak akan mengerjakan haji lagi selepas tahun ini". Surah al-Nasr turun di pertengahan hari-hari tasyrik, darinya Baginda mengetahui bahawa itu adalah ucapan selamat tinggal dan pemberitahuan tentang kematiannya.

Dipermulaan Safar tahun sebelas (11) Hijrah Rasulullah telah keluar ke Uhud, Baginda bersembahyang untuk para syuhada' sebagai mengucap selamat tinggal kepada sekalian yang hidup dan yang mati, dari situ Rasulullah kembali ke masjid menaiki mimbar dan berucap dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah berkeras dengan kamu, sesungguhnya daku adalah penyaksi ke atas kamu semua, demi Allah di masa ini daku sedang menyaksikan kolam airku (kurniaan kepada Rasulullah di hari perkiraan), daku ini telah diberi kunci khazanah kekayaan bumi atau kunci-kunci bumi, dan sesungguhnya daku tidak takut kamu menyekutui Allah selepas kematian ku ini, tetapi yang ku takut ialah kamu lumba-lumba kerana dunia".

Di suatu malam Rasulullah keluar ke kawasan perkuburan al-Baqi', di sana Rasulullah memohon keampunan untuk penghuni di kubur berkenaan dengan doanya yang bermaksud: "Assalamulaikum wahai penghuni kubur, bermudahlah kamu ke atas apa yang berlaku pada kamu, dengan apa yang berlaku ke atas orang lain, kini fitnah telah mula tiba, bak sebidang malam yang gelap pekat, hujungnnya terus menyusul selepas permulaannya, hujungnya lebih buruk dari permulaannya". Di sini Rasulullah menyampaikan berita gembira kepada mereka, dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya kami menyusul datang selepas kamu"

PERMULAAN SAKIT.

Di hari kedua puluh sembilan (29) bulan Safar tahun kesebelas (11) hijrah, pada han Isnin, Rasulullah berkesempatan menghadiri pengkebumian jenazah di al-Baqi'. Dipertengahan jalan sekembalinya Baginda dari al-Baqi', Baginda terasa sakit kepala, panasnya terlalu menjadi-jadi, orang yang disekeliling Baginda turut merasai kepanasannya terutama di atas kain balutan di kepala Baginda yang mulia itu.

Namun demikian Rasulullah terus bersolat dengan sekalian kaum muslimin dalam keadaan Baginda mengalami kesakitan untuk selama sebelas hari, sedang keseluruhan hari sakit Baginda tiga belas atau empat belas (13 atau 14) hari.

MINGGU TERAKHIR

Sakit semakin memberat, membawa Rasulullah bertanya isteri-isterinya; "Di mana giliran ku besok? Di mana giliranku besok?". Semua mereka memahami tujuan Rasulullah (s.a.w) itu, justeru itu Baginda dibenarkan untuk duduk di mana-mana sahaja, dengan itu Baginda berpindah ke rumah Aisyah, Baginda berjalan di antara al-Fadlu bin al-Abbas dan Ali bin Abi Talib, sedang kepala Baginda berbungkus dengan kain, meletak kakinya selangkah demi selangkah hinggalah Baginda memasuki rumahnya, di situ Baginda menghabiskan baki umurnya yang seminggu itu.

Aisyah (r.a) terus membaca surah-surah al-Muawwizah, dan doa-doa yang lain yang beliau terima dari Rasulullah (s.a.w). Beliau meniup ke atas badan Rasulullah (s.a.w) dan menyapu dengan tangan Baginda untuk memperolehi keberkatan.

LIMA HARI SEBELUM KEWAFATAN

Pada hari Rabu iaitu lima hari sebelum kewafatan, kepanasan badan Rasulullah semakin meningkat, di mana Rasulullah (s.a.w) semakin bertambah sakit dan pening-pening menyebabkan Baginda menyuruh dengan sabdanya yang bermaksud: "Curahkan ke atas ku tujuh uncang air dari berbagai telaga supaya dapat ku keluar menemui orang ramai dan aku boleh bertemu dengan mereka". Dengan itu maka yang hadir di situ membiarkan Rasuiullah duduk di atas tilam kemudian mereka mencucuri air ke atas seluruh badan Rasuiullah, hingga Rasuiullah (s.a.w) berkata: "cukup, cukup".

Di ketika itu Rasuiullah terasa sakitnya berkurangan, dengan itu Baginda memasuki Masjid sedang kepalanya masih berbalut dengan kain, terus Rasuiullah duduk di atas minbar dan memberi ucapan kepada orang ramai. Di masa itu khalayak ramai pun melingkunginya, lantas Baginda bersabda yang bermaksud:

"Laknat Allah ke atas kaum Yahudi dan Nasrani kerana mereka menjadikan kubur-kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid" Dalam riwayat yang lain "Allah mengutuk bangsa Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur-kubur nabi-nabi mereka masjid" dan sabdanya: "Jangan sekali-kali kamu menjadikan kubur ku sebagai berhala yang disembah "

Tidak lupa Rasulullah menawar untuk orang ramai menuntut bela ke atas dirinya dengan berkata: "Siapa di antara kamu yang telah ku sebat belakangnya nah ini dia belakang ku untuk beliau menyebatnya sebagai menuntut bela, dan sesiapa yang telah ku hamun maruahnya, nah ini dia maruahku untuk beliau menuntut bela".

Kemudian Rasulullah (s.a.w) turun dari minbar dan menunaikan solat Zohor dan kembali duduk di atas mimbar semula dengan mengulangi soal perbalahan dan yang lain-lain hingga salah seorang yang hadir berkata: "Rasulullah (s.a.w) telah berhutang dari ku sebanyak tiga dirham yang belum jelas" Maka kata Rasulullah (s.a.w): "Fadhl! Jelaskan kepadanya". Kemudian Baginda mewasiatkan dan berpesan terhadap orang-orang Ansar dengan sabdanya yang bermaksud: "Daku berpesan kepada kamu sekalian, bersikap baiklah terhadap al-Ansar, mereka itu perut dan bekalan bagiku, mereka telah pun melaksanakan kewajipan mereka yang belum terlaksana ialah hak mereka. Untuk itu terimalah kebaikan mereka dan beri maaflah kesalahan mereka"

Katanya pula: "Sesungguhnya aku ini seorang hamba Allah yang telah diberi pilihan untuk menerima kemewahan dunia secukupnya atau memilih kedudukan di sampingNya, di sini ku telah memilih kedudukan di sisiNya" Kata Abu Said al-Khudri: Di masa itu Abu Bakr menangis, dan katanya demi bapa kami dan ibu kami, kami korbankan. Kami yang hadir di ketika itu kehairanan dengan keadaan orang tua ini (yakni Abu Bakr), apa ceritanya?. Rasulullah menceritakan tawaran Allah (s.w.t) kepada RasulNya dua pilihan samada dunia atau pun kematian, tiba-tiba beliau menjawab "Kami korbankan bapa kami dan ibu kami", Rasulullah yang ditawarkan, bukan beliau, walau macam mana pun Abu Bakr adalah orang yang terlebih mengetahui di kalangan kami.

Kemudian Rasulullah pun berkata pula: Sesungguhnya orang yang paling selamat untuk ku bersahabat dan juga hartaku ialah Abu Bakr, seandainya harus ku mengambil teman selain dari Allah nescaya ku pilih Abu Bakr tetapi beliau adalah saudara, dan perhubungan mesra dalam Islam, mana-mana pintu dari rumah ke masjid semua harus ditutup kecuali pintu rumah Abu Bakr sahaja.

EMPAT HARI SEBELUM KEWAFATAN

Di hari Khamis iaitu empat hari sebelum kewafatan, sakit Baginda semakin berat, Baginda telah meminta dengan katanya: "Tolong bawa ke mari untuk ku tulis buat kamu semua bingkisan, di mana kamu tidak akan sesat lepas itu". Di dalam rumah di masa itu terdapat beberapa orang di antara mereka ialah Umar Ibn al-Khattab, dan beliau berkata: "Kini Rasulullah mengalami kesakitan yang teruk, kan kami sudah ada al-Quran, sudah cukup untuk kamu kitab Allah itu". Ahli keluarga Rasulullah berselisih pendapat dan berbalah, di antara mereka mengatakan: "Ayuh berikan sesuatu untuk Baginda tulis". Dan di antara mereka juga mengatakan seperti pendapat Umar tadi. Hingga dengan itu berlaku kesibukan dan percanggahan, menyebabkan Rasulullah berkata: "Ayuh! Kamu semua beredar dari sini".

Di hari itu Baginda membuat tiga wasiat iaitu Baginda berpesan supaya di halau keluar kaum Yahudi, Nasrani dan Musyrikin dari Semenanjung Tanah Arab, seterusnya Baginda berpesan supaya membenarkan kedatangan para perwakilan sebagaimana yang pernah Baginda lakukan. Adapun wasiat yang ketiga perawi hadith terlupa, boleh jadi pesanan supaya berpegang dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah atau meneruskan penghantaran tentera Islam pimpinan Usamah,'atau ianya perintah untuk bersembahyang dan membuat hubungan baik dengan hamba-hamba yang dimiliki.

Walau pun nabi dalam keadaan sakit namun Baginda terus bersembahyang mengimami sidang jemaah sekalian, hingga ke hari Khamis empat hari sebelum Baginda wafat. Di hari itu Baginda bersembahyang maghrib dengan membaca surah "al-Mursalat ".

Semasa sembahyang Isya' sakit Baginda bertambah berat, menyebabkan Baginda tidak terdaya untuk keluar ke masjid, kata Aisyah: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apakah orang ramai sudah sembahyang?". Kata kami: "Tidak wahai Rasulullah, mereka semua sedang menunggu tuan hamba". Kata Baginda lagi: Sediakan air di dalam talam itu". Kami pun berbuat mengikut seperti suruhan Baginda, dengan itu Baginda pun bersuci, dan bangun namun Baginda telah pitam di situ kemudian sedai bertanya pula: "Apakah orang ramai sudah bersembahyang. Kejadian pitam ini berulang kali berlaku seperti yang pertama iaitu selepas Baginda bersuci, akhirnya Baginda suruh Abu Bakr bersembahyang mengimami orang ramai. Abu Bakr pun melaksanakan perintah Baginda mengimami orang ramai untuk hari-hari itu sebanyak tujuh belas (17) waktu semasa hayat Rasulullah (s.a.w).

Dalam hal ini Aisyah telah meminta Rasulullah mengubah arahannya itu, bertujuan memberi orang lain menjadi imam, supaya orang ramai tidak beranggapan tak elok, namun Rasulullah tetap menolak dan berkata: "Kamu semua adalah wanita-wanita pencinta Yusof, banyak berdalih, ayuh suruh Abu Bakr bersembahyang mengimami orang.

SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM WAFAT

Di hari Sabtu atau Ahad nabi (s.a.w) merasa dirinya ringan sedikit, justeru itu Baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang untuk bersembahyang Zohor, sedang Abu Bakr mengimami orang ramai. Sebaik sahaja Abu Bakr terlihat Baginda beliau pun berundur ke belakang, tetapi Rasulullah (s.a.w) memberi isyarat supaya jangan beliau berundur, Rasulullah menyuruh dua orang yang membantu Baginda supaya mendudukkan Baginda sebelah Abu Bakr, mereka berdua pun mendudukkan Rasulullah (s.a.w) di sebelah kiri Abu Bakr, dan Abu Bakr mengikuti (beriqtida') dengan Rasulullah di dalam sembahyangnya, di samping memperdengarkan takbir-takbir kepada sekalian jemaah.

SEHARI SEBELUM WAFAT

Pada hari Ahad iaitu sehari sebelum wafat, Rasulullah (s.a.w) memerdekakan kesemua hamba sahaya, bersedekah dengan tujuh dinar yang Baginda miliki pada ketika itu, semua senjata-senjatanya diberikan kepada kaum muslimin. Di malam berkenaan Aisyah meminjam minyak untuk menghidupkan lampu dari jirannya, baju besi Rasulullah tergadai pada seorang Yahudi dengan tiga puluh (30) cupak beras bali.

HARI TERAKHIR DALAM HAYAT BAGINDA

Anas bin Malik meriwayatkan katanya: Sekalian kaum muslimin yang sedang bersolat Subuh di belakang Abu Bakr di hari Isnin itu dikejut oleh kemunculan Rasulullah dari sebelah tabir bilik Aisyah sedang jemaah bersembahyang. Baginda melihat dan memberi senyumannya, Abu Bakr pun berundur ke belakang untuk menyertai saf di belakang, kerana beliau menyangka Rasulullah hendak keluar bersembahyang. Kata Anas lagi: Hampir-hampir sidang jemaah terpesona dengan solat mereka kerana gembira melihat Rasulullah (s.a.w) namun Baginda memberi isyarat kepada mereka supaya meneruskan sembahyang. Lepas itu Baginda melepaskan tabir dan masuk ke dalam. Selepas itu Rasulullah (s.a.w) tidak berkesempatan lagi untuk bersembahyang lima waktu yang lain.

Semasa siang semakin cerah Rasulullah (s.a.w) menjemput Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu, menyebabkan beliau menangis, lepas itu Baginda memanggil Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu menyebabkan Fatimah tersenyum, kemudian Aisyah berkata: Kami pun bertanya apa ceritanya?. Jawab Fatimah: "Baginda membisik bahawa Allah akan menjemputnya melalui sakit yang Baginda alami ini, itulah yang membawa aku menangis, pada kali kedua Rasulullah (s.a.w) membisikkan bahawa daku ahli keluarganya yang diwafatkan Allah selepas Baginda, itulah yang menyebabkan daku tersenyum".

Selain dari itu Rasulullah (s.a.w) juga memberi khabar gembira (tabsyir) kepada Fatimah bahawa beliau adalah Syayyidah Nisa' al-'Alamin (Penghulu Wanita Dunia). Fatimah melihat beban kesakitan terlalu berat dialami oleh Rasulullah (s.a.w). Beliau berkata: "Alangkah berat siksa bapa". Jawab Rasulullah (s.a.w): "Tiada siksa lagi bagi bapamu selepas hari ini".

Di saat ini Rasulullah (s.a.w) memanggil al-Hasan dan al-Husain dan Baginda mencium kedua-duanya sambil berwasiat kepada mereka berdua dengan kebaikan, kemudian Rasulullah menjemput isteri-isterinya, menasihati dan memperingatkan mereka.

Kesakitan semakin bertambah, dan kesan racun yang Baginda termakan di hari Khaibar boleh dilihat, menyebabkan Rasulullah berkata: "Wahai Aisyah kini aku masih terasa sakit kesan makanan di hari Khaibar dahulu, inilah masanya aku mendapati nafas ku sesak terputus-putus kerana kesan racun itu". Rasulullah mewasiatkan orang ramai dengan sabdanya: "Solat, solat dan berbuat baiklah kepada hamba sahaya milik kamu". Baginda mengulangi ungkapan ini berkali-kali.

NAZAK

Saat nazak mendatangi Rasulullah (s.a.w), dan Aisyah bertindak membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar kepadanya. Hal ini beliau ceritakan dengan katanya: "Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda. Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun bersugi dengannya". Dalam satu riwayat lain bahawa Baginda bersugi dengan sepuas-puasnya, pada masa itu terdapat sebuah bijana di hadapan Rasulullah berisi air di mana Baginda memasukkan tangannya untuk menyapukan air ke mukanya sambil berkata yang bermaksud: "Sebenar kematian ini ada sakarahnya" - al-Hadith.

Tidak berapa lama selepas Baginda selesai menyugi giginya, Rasulullah pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah (s.a.w) seperti berikut :

Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para nabi, siddiqin, syuhada' dan salihin, Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah daku dan kasihanilah daku, letakkanlah daku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi.

Baginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun layu turun ke bawah, maka Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi. "Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali".

Peristiwa kewafatan Rasulullah ini berlaku ketika pagi sudah meningkat di hari Isnin dua belas (12) Rabiulawwal tahun kesebelas (11) Hijrah di waktu usia Rasulullah genap enam puluh tiga (63) tahun dan empat (4) hari.

KEPILUAN MENYELUBUNGI PARA SAHABAT

Kini berita kewafatan Rasulullah yang memilukan itu tersebar luas, suasana muram menyelubungi persada Madinah dan cerok daerahnya, kata Anas: "Tidak pernah ku melihat satu hari lebih ceria dan bercahaya dari hari kedatangan Rasulullah (s.a.w) ke Madinah dan tidak pernah pula ku lihat satu hari yang lebih buruk dan muram dari hari kewafatan Rasulullah (s.a.w)".

Selepas wafatnya Rasulullah (s.a.w) puteri Baginda, Fatimah (r.a) telah mengucapkan suatu ungkapan: "Duhai ayahku, kau menyahut seruan Tuhamu, duhai ayahku, syurga al-Firdaus kesudahanmu, duhai ayahku, kepada Jibril jua kami bertakziah mengenai kewafatanmu"

SIKAP UMAR

Di hari itu Umar telah berdiri di hadapan khalayak ramai dan mengikut riwayat menceritakan bahawa beliau telah terkeluar dari kewarasannya dengan berkata: "Sebenarnya terdapat beberapa orang munafiqin telah menyebut bahawa Rasulullah telah wafat, sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) tidak wafat, cuma beliau pergi menemui Tuhannya seperti Musa bin Amran pergi menemui Tuhannya, Musa menghilang diri untuk selama empat puloh malam, kemudian Baginda pulang semula setelah orang berkata, yang Musa telah mati. Demi Allah, Rasulullah (s.a.w) pasti akan pulang semula, sesiapa yang menyangka bahawa Rasulullah (s.a.w) telah wafat mesti dipotong tangan dan kaki-kaki mereka.

PENDIRIAN ABU BAKR

Abu Bakr memecut kudanya, berlari dari rumahnya di al-Sanh, sesampainya ke perkarangan masjid beliau terus masuk ke dalam masjid. Tanpa bercakap sepatah pun dengan orang ramai beliau memasuki bilik Aisyah menuju ke tempat Rasulullah yang sedang berbaring ditutupi dengan kain. Beliau membuka tutupan muka Rasulullah (s.a.w, terus memeluk dan mencium muka Rasulullah sambil menangis dan berkata: "Demi dikaulah ibu ayahku, Allah tidak akan mengenakan kau dua kematian, adapun kematian yang ditulis ke atas mu ini sudah kau hadapinya".

Setelah itu Abu Bakr dan Umar keluar menemui orang ramai, di mana Abu Bakr berkata: "Wahai Umar sila duduk" Namun Umar enggan untuk duduk. Orang ramai pun melingkungi Abu Bakr dan membiarkan Umar di situ. Abu Bakr berucap kepada sidang hadirin dengan katanya:

    "Adapun selepas tahmid dan syukur maka ingin ku menyebut di sini, sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati ".

Kemudian beliau membaca ayat Allah:

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (yakni murtad). Maka sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur".

(ali-Imran : 144)

Kata Ibn Abas: Demi Allah, di masa itu manusia ramai bagaikan tidak mengetahui bahawa Allah telahpun menurunkan ayat ini kecuali setelah Abu Bakr membacanya, dengan itu orang ramai pun menerima dan membacanya.

Kata Ibn al-Musaiyab: Umar telah menyebut: "Demi Allah, sebaik sahaja aku terdengar apa yang diunggapkan oleh Abu Bakr itu aku terasa kakiku sudah tidak berdaya lagi untuk berdiri, memanglah aku terus terhumban ke tanah sebaik sahaja mendengar apa yang dibaca oleh Abu Bakr itu, kerana aku sudah dipastikan dengan kewafatan Rasulullah".

KAFAN DAN PERSEMADIAN JASAD MULIA BAGINDA KE PEMBARINGAN TERAKHIR

Telah timbul perselisihan pendapat di antara para sahabat sebelum urusan perkafanan mengenai persoalan khalifah. Berlakulah perbahasan dan perdebatan di antara kaum Muhajirin dan al-Ansar di halaman rumah Banu Sa'adah yang mana akhirnya mereka semua bersetuju melantik Abu Bakr sebagai khalifah Rasulullah. Perbahasan ini memakan masa hingga ke akhir hari Isnin, malah hingga masuk ke malam berikut menyebabkan orang ramai turut sibuk. Pengkembumian jasad Baginda tertangguh hingga ke malam Selasa malah hingga menjelang subuh hari berikut, di mana jasad Rasulullah yang penuh berkat itu terletak di tempat tidurnya, tertutup dengan kain menyebabkan ahli keluarga Baginda menutup pintu rumah.

Di hari Selasa barulah diuruskan mandi jasad Rasulullah (s.a.w) tanpa membuka bajunya, mereka yang bertugas memandikan Baginda ialah al-Abbas, Ali, al-Fadhl dan Qatham(kedua-dua anak al-Abbas), Syaqran(hamba Rasulullah), Usamah bin Zaid dan Aws bin Khawli. Abbas, al-Fadhl dan Qatham membalikkan badan Rasulullah, Usamah dan Syaqran menjiruskan air, Ali menggosoknya sedang Aws pula menyandarkan Rasulullah ke dadanya. Kemudian mereka semua mengkafanki'n jasad Rasulullah (s.a.w) di dalam tiga lapis kain kafan berwarna putih tenunan dari al-Yaman, tidak berbaju atau berserban. Dikafannya jasad Rasulullah (s.a.w) ke dalam ketiga-tiga lapisan kain kafan tadi dengan cermat dan penuh hemat.

Di saat pekebumian sekali lagi kaum muslimin berikhtilaf tempat persemadiannya, namun kesudahannya Abu Bakr bangun dan berkata: "Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah (s.a.w) pernah berkata: Tidak dimatikan mana-mana nabi kecuali di tempat itulah ia disemadikan". Justeru itu maka Abu Talhah pun mengangkat tempat tidur Rasulullah (s.a.w) dan digalinya lubang sebagai kubur berliang lahad.

Sebelum itu kaum muslimin masuk membanjiri bilik Rasulullah (s.a.w) dengan bertali arus sepuluh selepas sepuluh, menunaikan solat jenazah, masing-masing tanpa imam. Mula-mula sekali Baginda disembahyangi oleh keluarga Baginda, kemudian Muhajirin diikuti oleh al-Ansar. Kaum wanita bersembahyang selepas kaum lelaki diakhiri oleh lapisan kanak-kanak.

Kesemuanya ini diselenggarakan pada hari selasa sehari suntuk, malah hingga ke malam Rabu. Kata Aisyah: "Kami bagaikan tidak menyedari pengkebumian kecuali setelah kami terdengar suara cangkul menggali tanah di tengah malam yakni malam Rabu.

Comments

as.SaLaam alykom wa Rahmat ALlah;
Syukur ke hadrat ALlah atas usaha tuan/puan. Mudah2-an mendapat barakah yg bertetrusan.Mohon lengkapakan cerita;
siapa yang membawa RasuluLlah ke dalam liang lahad sebelum disemadikan ?

Popular posts from this blog

Peperangan Uhud

Petunjuk Arah Peta Tentera berkuda musyrikin yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal menyerang dan mencederakan tentera muslimin Kubu pertahanan tentera Islam sebelum peperangan Tentera memanah muslimin menyerang tentera musyrikin di atas bukit 'Ainain Kubu pertahanan tentera Musyrikin sebelum peperangan Pemanah muslimin turun dari tempat pertahanan mereka (Bukit 'Ainain) unutk berdepan dengan orang musyrikin Persiapan Quraisy Untuk Pertempuran Ganas Makkah dibakar bahang api kemarahan terhadap kaum muslimin. Ini adalah ekoran natijah kekalahannya dipertempuran Badar. lanya adalah suatu tragedi kerana kekalahan dan kematian pemuka-pemukanya. Desakan menuntut bela di atas kematian wira-wira Quraisy memuncak, pihak Quraisy melarang sebarang ratapan di atas kematian itu, dan melarang penebusan segera ke atas tawanan perang, supaya tidak dilihat oleh kaum muslimin betapa berdukacitanya mereka dengan peristiwa yang tragedik itu. Selepas peperangaan Badar sel...

Kesan Beriman Kepada Rukun Iman ( Part 1 )

Kesan Beriman Kepada Rukun Iman ( Part 1 ) Ramai yang tidak tahu akan kesan beriman kepada RukunIman ini,rata-rata umat islam hanya mengetahui akan Rukun Iman serta isinya sahaja. Maka tiada meberi impak pada hati dan rohani kita sebagai umat Islam dan hamba Allah disi akan mengakibat terjejasnya Amal Ma'aruf Nahi Mungkar . Kesan Beriman Kepada Allahswt . 1) Akan melahirkan manusia yang sanggup berkorban,ikhlas,jujur,merendah diri,benar & mengenepikan masalah peribadi. 2) Menghalang daripada melakukan maksiat dan sebarang keburukkan,sebab segala kegiatan atas aktiviti yang dijalankan akan tunduk dibawah kekekuasaan dan pengaruh iman kepada Allahswt. 3) Menyuluh kita segala liku hidup yang gelap kepada cahaya mendapatkan kekuatan dan perlindungan kepada Allah apabila ditimpa kesusahan.Kerana telah menjadi adat manusia ada masa ia susah ada masa ia senang, oleh itu kepada mereka yang beriman kepada Allah ia akan meminta perlindungan kepada Allah tetapi kepada mereka tang tidak be...

Siapakah Nabi Yusha` bin Nun?

Siapakah Nabi Yusha` bin Nun? Assalamualikum.. Hari ini merupakan 10 zulhijjah 1430, selepas selesai solat & mendengar khutbah raya. Saya dan rakan terus pulang ke rumah. Seterusnya semua mereka bersiap untuk menghadiri jemputan ke rumah En. Sulaiman. Lain pula bagi saya & rakan sebilik (usama) bersiap untuk berjumpa tetamu warga Malaysia yang berkunjung di bumi syam Jordan ini. Ditugaskan untuk membawa mereka melancong. Excited sangat, maklumlah kali pertama membawa orang melawat kawasan Jordan. Memang sebelum ini saya bercita-cita mahu mencari pengalaman selain ingin mengenali Jordan ini dengan lebih lagi. Antara tempat yang kami lawati pada hari pertama raya haji ini adalah makam Nabi Syuaib a.s., laut mati, gua ashabul kahfi & Jabal Qala`ah. Ke mana-mana sahaja tempat kami lawati ada sahaja cerita yang kami (saya & sahabat tadi)ketengahkan. Terutama sekali sewaktu di Makam Nabi Allah Syuaib a.s. saya berlagak sebagai seorang penterjemah, bila seorang penjaga menceri...