Hilal, Rukyah, dan Hisab
Antara perkara-perkara yang sinonim dengan Ramadhan, Hari Raya dan Qurban adalah Hilal (anak bulan) dan Rukyah1. Menjadi kebiasaan kita di Malaysia untuk beramai-ramai menghadap kaca television menantikan pengumuman oleh pemegang mohor besar Raja-Raja akan tarikh mula puasa dan Raya.
Namun setelah berada di luar negara terlintas satu masalah di mana bukan sahaja tiada autoriti induk bagi aktiviti sebegini malah terdapat juga perbezaan tarikh puasa dan raya antara rakan-rakan Muslim. Ada yang berpuasa sehari awal, ada pula yang berpuasa sehari lewat. Punca pada perbezaan ini dasar dari perbezaan taklid/ ijtihad yang digunakan.
Artikel ini ditulis hanya sebagai pendahuluan kepada pencarian ilmu dan konsep ijtihad yang lebih serius yang patut diberatkan oleh pelajar Muslim Malaysia terutamanya di negara-negara asing. Penulis tidak mencadangkan apa-apa dan cuba untuk tidak meletakkan hukum atas mana-mana ijtihad, apa yang ditulis hanyalah berasaskan ilmu penulis yang sangat sedikit.
Apakah itu Hilal?
يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِىَ مَوَٰقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلْحَجِّ ۗ وَلَيْسَ ٱلْبِرُّ بِأَن تَأْتُوا۟ ٱلْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰ ۗ وَأْتُوا۟ ٱلْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَٰبِهَا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٨١﴾
"Mereka bertanya kepadamu tentang hilal. Katakanlah hilal itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan ibadat haji."[Al-Baqarah(2):189] 2
Dari Ibn Umar r.a. Dari Nabi saw. bahwa beliau menyebut-nyebut tentang bulan Ramadan sambil mengangkat kedua tangannya dan bersabda: "Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari)".(Riwayat Muslim)3
Di dalam Al-Quran dan Hadis perkataan Hilal merujuk kepada anak bulan atau bulan sabit, dalam bahasa Inggerisnya, ‘Crescent moon'. Pun begitu dalam beberapa terjemahan dalam bahasa Inggeris menterjemah perkataan Hilal sebagai ‘New Moon' atau Bulan Baru4.
Hilal adalah fasa seterusnya selepas fasa Bulan Baru di mana pantulan cahaya berbentuk sabit mula kelihatan. Hilal akan kelihatan lebih kurang sehari atau lebih selepas Bulan Baru. Di mana, pergerakkan bulan pada orbitnya mula membenarkan pantulan cahaya matahari pada permukaannya untuk sampai ke bumi. Cahaya yang terpantul itu yang akan kelihat sebagai bulan sabit pada pemerhati di bumi. Bulan baru dalam kalendar Islam bermula dengan Hilal bukan Bulan Baru. (Ali 2009, Shaikh 2006).
Rajah 1: Menunjukkan secara grafikal, pergerakan bulan pada orbitnya dan bentuk bulan yang kelihatan oleh pemerhati di bumi.(untuk gambar lebih besar left-click dan klik View Image)
Rukyah
Rukyah adalah aktiviti melihat dan menentukan Hilal. Rukyah bukan sahaja dilakukan untuk menetukan jatuh tarikh puasa dan raya sahaja. Ianya adalah aktiviti utama untuk menentukan bulan baru setiap bulan dalam kalendar hijrah.
Bulan seperti matahari terbit dari sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Hilal terletak berdekatan matahari dan akan terbenam selepas matahari terbenam. Rukyah dilakukan antara waktu selepas matahari terbenam dan sebelum bulan pula menyusur terbenam. Rukyah akan dilakukan pada 29 haribulan. Secara teknikal, bulan tidak dapat kelihatan pada 28 haribulan kerana ketika itu bulan berada pada fasa Bulan Baru (Ali 2009).
Rajah 2: Contoh kedudukan hilal dan matahari (sumber: al-ghazzali centre).(untuk gambar lebih besar left-click dan klik View Image).
Sekiranya hilal gagal kelihatan pada petang 29 haribulan, maka bulan tersebutan disempurnakan atau dicukupkan kepada 30 hari. Dengan kata lain, bulan hijriyah yang baru akan bermula pada lusa harinya, bukan keesokkannya.
Untuk Ramadhan tahun ini, Hilal akan mula kelihatan pada 20 Ogos 2009 di tengah-tengah lautan Pasifik, jauh ke barat dari Amerika Selatan. Oleh hal demikian negara yang terawal untuk melihat anak bulan pada tahun ini ialah di jepun pada hari keesokkannya iaitu pada 21 Ogos 2009 (CrecsentWatch.org).
Secara istilahnya, jika seseorang membuat kenyataan bahawa dia telah melihat hilal, dan dia adalah seorang Muslim, maka kenyataannya diterima, maka Muslim di matla tersebut perlu berpuasa pada esok hari. Namun terdapat beberapa kes di mana, kenyataan tersebut diragui kerana beberapa perkara. Antaranya, terdapat orang yang menyatakan melihat hilal pada 27 haribulan, padahal ketika itu yang dilihat bukan Hilal, tapi Waning Crecsent atau Old Moon.
Oleh hal demikian, Rukyah digalakkan dilakukan secara Jamme Ghafir iaitu oleh ramai saksi, kaedah ini digalakkan oleh Imam-Imam Mazhab seperti Imam Abu Hanifa, Malik dan Imam Ahmad. (Shaikh 2006).
Hisab
"Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak". [Yunus (10):5]
"Matahari dan Bulan beredar mengikut laluan yang diperhitungkan" [ar-Rahman(55):5] 5
Maha suci Allah yang berkuasa menciptakan sesuatu atas kehendak-Nya. Dari dua potong ayat di atas, jelas bahawa peredaran bulan dan matahari terdapat pengiraan di sebaliknya, dan dengan Izin-Allah manusia mampu memahami dan mengira fenomena ini.
Hisab atau kaedah pengiraan astronomikal dalam konteks ini merujuk kepada kaedah perhitungan pergerakkan bulan menggelilingi bumi. Pada zaman kini terdapat pelbagai badan-badan astronomi di mana-mana negara sekalipun yang mengira kedudukan bulan pada satu-satu masa. Dengan teknologi terkini kedudukan bulan boleh ditentukan dengan tepat, dan bulan boleh dilihat menggunakan telescope canggih biarpun mata kasar tidak mampu melihatnya, terutamanya dalam kes Bulan Baru.
Namun perlu diingatkan teknik pengiraan bulan bukan sesuatu yang baru. Pengiraan matematik pergerakkan bulan menggelilingi telah lama dipelopori oleh Tamadun Greek dan Tamadun India, ratusan tahun sebelum Tamadun Islam bermula. Bahkan ahli astronomi Muslim menjelajah ke India untuk belajar dan memperbaiki kaedah Hisab dan Rukyah untuk kemudahan ummah (King 1993, Ali 2009). Terdapat lebih dari satu kaedah hisab, tetapi tidak akan dibincangkan di sini kerana teknikaliti yang sangat kompleks dan perbincangan yang panjang.
Terdapat Muslim yang berpendapat bahawa Hisab boleh menggantikan kaedah Rukyah sama sekali bahkan perlu digunakan sebagai kaedah untuk menetukan kalendar Hijrah seluruh dunia atas dasar kesatuan Ummah. Pun begitu majoriti ulama menegaskan keperluan hisab hanya sebagai pembantu dalam proses Rukyah, bukan sebagai pengganti.
Salah faham umum dalam penggunaan kaedah Hisab ialah timbul apabila kekeliruan antara Hilal dan Bulan Baru. Kaedah hisab menentukan waktu "lahir" bulan baru bukan hilal. Hisab tidak mampu untuk menentukan Hilal kerana Hilal adalah sesuatu yang dilihat. Perlu diingatkan Hilal adalah pantulan cahaya dari bulan yang berbentuk sabit. Maka, apa yang terjadi apabila kekeliruan ini timbul ialah mereka akan berpuasa pada hari orang membuat Rukyah, iaitu sehari atau dua hari sebelum tarikh puasa melalui kaedah rukyah.
Tuntutan Syara'
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ﴿٥٨١﴾
Dalam surah al-Baqarah ayat 185, perkataan "famaan shahida minkum as-shahara" bermaksud ‘Sesiapa antara kamu yang melihat bulan'. Ayat ini merujuk terus keperluan untuk melihat sendiri Hilal. Perkataan ‘shahida' memberi makna untuk melihat dalam bentuk fizikal sebagai bukti (hilalsighting.org). Maksud lain bagi perkataan ‘shahida' adalah, untuk bersaksi atas suatu perkara yang dilihatnya (Ali 2009).
Afroz Ali, Presiden di Al-Ghazzali Centre for Islamic Sciences & Human Development, menekankan bahawa untuk menggunakan kaedah pengiraan semata-mata bagi menentukan tarikh tidak menepati kehendak syara' dan beliau juga menambah; Imam al-Qurtubi dalam Sabab al-Nuzul, menulis berkaitan dengan ayat 189 surah al-Baqarah seperti berikut:
"This (verse was revealed) in opposition to what the Arabs considered acceptable at their time, as their practice was to perform Hajj based upon calculation (‘adad) and alterations of the months. And so Allah nullified their words and deeds by obligating sighting of the crescent". (Ali 2009)
Pada zaman Rasulullah (SAW) di Madinah, orang Yahudi juga mempunyai Kalendar Lunar6 mereka sendiri, tetapi berbeza dengan Muslim, Yahudi menggunakan Bulan Baru sebagai permulaan bulan yang baru dalam kalendar mereka. Rasulullah (SAW) sebaliknya menyuruh umat islam untuk menggunakan Hilal sebagai penentu berakhir dan mula bulan-bulan Islam daripada menggunakan kalendar Yahudi (IslamMoon.com).
Maka pada hukum syara', Hilal merupakan sabab kepada mulanya puasa tetapi selepas beberapa kriteria yang ditetapkan dipenuhi iaitu Rukyah pada petang 29 haribulan bulan Islam. Dan seperti hadith Nabi, sekiranya Hilal tidak kelihatan maka dicukupkan bulan itu dengan 30 hari (Ali 2009).
Saksi sedang mengira kedudukan matahari (sumber: al-ghazzali centre)
Penutup
Muslim seluruh dunia melihatkan keperluan untuk menyatukan tarikh kalendar hijriyah sebagai lambang kesatuan Ummah. Ironiknya setiap kali Ramadhan dan dua Hari Raya (Eid), Muslim menyambutnya dalam 2-3 tarikh Kalendar Gregorian yang berbeza serata dunia, tidak cukup dengan itu masing-masing menyalahkan satu sama lain atas perbezaan tarikh tersebut.
Persoalan yang dibangkitkan ialah apakah ia tuntutan syara bagi menseragamkan kalendar Islam atas dasar syiar perpaduan Islam semata? Dalam menjawab persoalan ini, Liga Muslim Sedunia (Muslim World League), bersetuju atas beberapa perkara mengenai tarikh kalendar hijriah7:
1-Tidak ada keperluan untuk menseragamkan rukyah dan Hari Raya untuk semua negara-negara Islam. Kerana usaha ini belum tentu dapat menyatukan ummah seperti mana yang dilaung-laungkan.
2- Perihal rukyah adalah tanggungjawab pada Waqi' negara masing-masing.
3-Satu-satunya jaminan untuk kesatuan Ummah ialah apabila Muslim mahu bersatu dalam mentaati Quran dan Sunnah.
Sebagai tambahan, Salman Shaikh, Koordinator Hilal Sighting Commitee of North America menjelaskan bahawa Rasulullah tidak pernah menyamakan tarikh Eid-ul-Adha di Madinah dan Mekah (Shaikh 2006).
Terdapat pelbagai lagi persoalan yang lahir berkaitan Rukyah, Hilal dan Kalendar Hijriah, antara yang popular ialah persoalan menggunakkan Rukyah Lokal atau Global, dengan kata lain, apakah saya yang berada di Australia boleh menggunakkan keputusan Rukyah di Algeria, Arab Saudi, Argentina etc. Namun perbincangan yang panjang yang tidak disertakan dalam penulisan ini kebanyakkan berbentuk khilaf, untuk mengelakkan takalluf, saya sengaja tidak sertakan. Apa yang telah ditulis merupakan hanya sebagai pendahuluan dan sangat sedikit daripada maklumat mengenai Rukyah dan perkara berkaitan dengannya. Lagi sekali diingatkan, penulisan ini hanya sebagai pendorong untuk pembaca mencari maklumat sendiri dengan lebih lanjut.
Maha Suci Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Nota kaki
[1]-Terdapat dua maksud untuk perkataan Rukyah. Dalam penulisan ini, Rukyah merujuk kepada aktiviti atau kaedah melihat anak bulan untuk penentuan tarikh dalam kalendar Hijriah. Rukyah ini dieja seperti berikut (رؤْية). Perkata rukyah lain bermaksud bacaan du'a sebagai syifa' atau memohon perlindungan, Rukyah ini pula atau Ruqyah dieja dengan huruf Qaff (myks.wordpress.com).
[2] Penulis terjemah sendiri dari ayat berikut: (They ask you (O Muhammad) about the crescents. Say, "These are signs to mark fixed periods of time for mankind...) so that they mark their acts of worship, the `Iddah (the period of time a divorced woman or a widow is required to wait before remarrying) of their women and the time of their Hajj (pilgrimage to Makkah).(Tafsir.com)
[3]- Sahih Muslim, Hadith 1795 (al-Islam.com).
[4]- ‘New Moon'/Conjuction/Astronomical New Moon; merujuk kepada fasa peredaran bulan di mana ‘celestial longitude' bulan adalah sama dengan matahari (Shaikh 2006, Odeh) dengan kata lain, kedudukan bulan adalah selari dengan matahari dari tempat pemerhati, menyebabkan tiada pantulan cahaya dari matahari oleh bulan sampai ke bumi; maka pada fasa ini bulan tidak dapat kelihatan. Dengan kata lain ‘New moon' bermaksud ‘No moon'(Shaikh 2006), saya namakan fasa New Moon sebagai Bulan Baru.
[5]-Diterjemah dari ayat berikut: The sun and the moon run on their fixed courses, calculated with measured out stages for each. (Qur'an 55:5) dan (Yusuf Ali translation): The sun and the moon follow courses (exactly) computed.
[6]-Lunar Calendar/Kalendar Lunar=Kalendar berdasarkan bulan, oppo. Solar Calendar/Gregorian Calendar=kalendar berdasarkan pergerakkan bumi menggelilingi matahari.
[7]-Penulis terjemah sendiri dari ayat berikut: "1-There is no need to peruse unification of Moon sighting and Festivals in the Islamic world. Because this pursuit will not guarantee the ummah's unification as the promoters of unification of Moon sighting and Festivals imagine. 2- That the matter of moon sighting be left to the Muslim countries and their Judicial and Juristic Councils, because that has priority as well as will yield the most benefit. 3-The only guarantee which will benefit the Muslims in unifying the ummah in its matters and issues is that they agree to abide by the Quran and Sunnah in all of their matters" (Hilalsighting.org).
Rujukan
Afroz Ali, Understanding Crescent Sighting, al-Ghazzali Centre, held on 5th July 2009 in Newcastle, NSW Australia.
Australian National Crescent Sighting Coordination Centre, URL
Dr. Salman Shaikh, Coordinator, Hilal Sighting Committee of North America, Hilal Sighting & Islamic Dates:
Issues and Solution Insha'Allaah, Presented at Islamic Crescent Observation Project Conferences in Amman, Jordan in 1422H (2001G) and in Abu-Dhabi, UAE in 1427H (2006G), URL
D. A. King 1993, Astronomy in the Service of Islam, Variorum Publication, ISBN 0-86078-357-X.
Hilal sighting committee of North America, A Refutation to ISNA/Fiqh's Council Decision to Disregard the Qur'an and the Sunnah and to follow Astronomical Calculations for Beginning an Islamic Month, URL
CrescentWatch.org, URL <http://www.crescentwatch.org/cgi-bin/Cw/cw.cgi?action=2> last view on 17th August 2009.
Ginny's thought and Things, URL
IslamicMoon.com, Moon sighting News, Analysis and Articles, URL
Myks.wordpress.com URL
Al-Islam, www.al-islam.com, Hadis-Hadis Nabi: Puasa, URL
Online Quran project, www.al-quran.info URL
Comments