Mengapa Muslim Perlu Sihat Dan Cergas?
Assalamualaikum pembaca iluvislam.com. Sebenarnya sudah agak lama saya bercadang untuk menulis artikel tentang hubungan agama Islam dan kecergasan atau fitness. Insyallah dalam masa akan datang saya dan iluvIslam akan dapat mengeluarkan ebook khusus untuk topik ini.
Kenapa Seorang Muslim Seharusnya Fit?
Islam merupakan agama yang merangkumi seluruh kehidupan termasuk jasmani. Seorang muslim itu bertanggungjawab terhadap setiap aspek dalam kehidupannya. contohnya saya; saya adalah seorang anak, seorang abang dan seorang suami yang bakal menjadi seorang ayah tidak lama lagi. Dengan kesemua tanggungjawab ini, sudah semestinya ia menjadi kewajipan untuk diri saya memastikan kesihatan dan kecergasan sentiasa dijaga. Tanpanya, bagaimana untuk saya tunaikan tangggungjawab tersebut?!
Contoh: Bagi mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji, sudah tentu mereka perlukan tenaga dan kecergasan yang baik. Alhamdulillah saya sudah beberapa kali dapat menunaikan umrah tetapi kadangkala sedih melihat ramai yang kurang upaya dari segi kecergasan fizikal sehingga menggunakan kereta (sebaiknya jalan kaki) atau pitam dan macam-macam masalah lain berkaitan isu kesihatan.
Dalam satu hadis, ia mengatakan bahawa 1 per 3 daripada perut kita perlu diisi dengan makanan, 1 per 3 yang lain perlu diisi dengan air manakala 1 per 3 yang lain adalah udara untuk bantu kita bernafas. Daripada hadis tersebut, kita dapat belajar bahawa kita tidak sepatutnya makan terlalu banyak.
Mengikut catatan sirah, Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang manusia yang sihat atau 'fit.' Pastinya Nabi kita sihat bukan kerana pergi gimnasium hari-hari tetapi adalah melalui kehidupannya sebagai seorang muslim. Kesihatan dan kecergasan bukanlah berhubung kait dengan gimnasium tetapi ia adalah cara hidup kita. Menjadi seorang muslim adalah cara hidup. Bagi saya, ia cukup mudah; menjadi seorang muslim bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, tetapi ia juga melibatkan penampilan kita. Oleh sebab itu, saya perlu betul-betul menjaga kesihatan.
Lima Contoh Kesihatan dan Kecergasan Dalam Islam
1. Ibadah Haji dan Umrah.
Sekali lagi, ini contoh yang memang jelas kerana untuk menunaikan ibadah semasa umrah lagi-lagi ketika waktu haji sememangnya memerlukan kecergasan dan penjagaan fizikal diri. Tanpafitness, memang sukar!
2. Puasa.
Puasa mempunyai banyak kelebihan. Ia memerlukan fokus, disiplin, kesederhanaan, kawalan diri dan mementingkan penjagaan badan, minda and kerohanian. Tetapi tanpa penjagaan kesihatan yang baik, ibadat puasa pun menjadi suatu perkara yang sukar.
3. Sembahyang.
Kalau kita fikir, setiap kali anda sembahyang anda sebenarnya melakukan senaman ringan selama 4-5 minits ataupun 20-25min sehari. Walaupun ia tidaklah senaman yang berat tetapi tak kira umur, ia "memaksa" seseorang untuk berdiri, sujud (strecthing) dan melibatkan keseluruhan anggota badan.
4. Sunnah nabi.
Pelbagai sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan simbolik kepada senaman, kesihatan dan kepentingan penjagaan diri sepanjang hayat Baginda. Sebagai seorang muslim, kita selalu merujuk kepada pengajaran sunnah... jadi kenapa tidak pula mengikut gaya hidup Baginda yang aktif dan cergas?
5. Al-Quran
Seperti sunnah, Al-Quran adalah panduan kehidupan seorang muslim. Dan walaupun quran tidak menyuruh anda mengunjungi gimnasium atau berdiet, ia mementingkan keserderhanaan dalam pemakanan (balanced diet), jangan membazir dan menjaga kesihatan diri.
Untuk itu, kecergasan yang penjagaan kesihatan diri sudah tentu menjadi tanggungjawap setiap muslim.
Comments