Skip to main content

Hukum Fiqh ( Qiyas )

 

Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh
al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

15- Al-Qiyas (Penyamaan)
Definisi

Dari sudut Bahasa Arab al-Qiyas ialah anggaran dan penyamaan. Dari sudut istilah al-Qiyas ialah:

Menyamakan cabang dengan asal dalam hukum berdasarkan sebab yang merangkumi kedua-duanya.

Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:

Maksud cabang ialah perkara yang diqiyaskan.

Maksud asal ialah yang diqiyaskan kepadanya.

Maksud hukum ialah wajib, haram , sah , fasad dan lain-lain yang ditentukan oleh dalil Syara'.

Maksud sebab ialah perkara yang menjadi punca bagi hukum sesuatu asal.

Empat perkara ini adalah merupakan rukun-rukun al-Qiyas.

Al-Qiyas (persamaan) adalah salah satu dalil-dalil yang terpancar darinya hukum-hukum Syara'. Ianya telah disahkan sebagai dalil Syara' oleh al-Quran, al-Sunnah dan kata-kata sahabat.

Dalil daripada al-Quran

1- Firman Allah Ta‘ala (al-Syura 42:17) - Maksudnya: Allahlah yang menurunkan kitab dengan (membawa) kebenaran dan (menurunkan) neraca (keadilan).

Al-Mizan (neraca) ialah apa yang digunakan untuk menimbang perkara-perkara dan untuk dibuat ukuran di antaranya.

2- Firman Allah Ta‘ala (al-Anbiya 21:104) - Maksudnya: Sebagaimana Kami telah memulakan penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya.

Firman Allah lagi (Fatir 35:9) - Maksudnya: Dan Allah, Dialah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, maka Kami halau awan itu ke suatu negeri yang mati lalu Kami hidupkan bumi setelah matinya dengan hujan. Demikianlah kebangkitan itu.

Allah Ta‘ala telah menyamakan antara pembangkitan makhluk dengan permulaan penciptaannya dan menyamakan antara penghidupan semula mayat-mayat dengan penghidupan bumi. Inilah yang dinamakan al-Qiyas (penyamaan).

Dalil daripada al-Sunnah:

1- Sabda Rasulullah s.a.w. dalam menjawab pertanyaan seorang wanita yang bertanyakan tentang berpuasa untuk ibunya selepas ibunya wafat:

أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ فَقَضَيْتِيهِ أَكَانَ يُؤَدِّي ذَلِكِ عَنْهَا

قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَصُومِي عَنْ أُمِّكِ.[1]

Maksudnya: Apa pandangan kamu sekiranya ibu kamu mempunyai hutang, adakah bayaran kamu akan melangsaikannya? Jawabnya Ya. Sabda Baginda: Maka berpuasalah bagi pihak ibumu.

2 - Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ وُلِدَ لِي غُلاَمٌ أَسْوَدُ فَقَالَ هَلْ لَكَ مِنْ إِبِلٍ قَالَ نَعَمْ
قَالَ مَا أَلْوَانُهَا قَالَ حُمْرٌ


قَالَ هَلْ فِيهَا مِنْ أَوْرَقَ قَالَ نَعَمْ
قَالَ فَأَنَّى ذَلِكَ قَالَ لَعَلَّهُ نَزَعَهُ عِرْقٌ قَالَ فَلَعَلَّ ابْنَكَ هَذَا نَزَعَهُ.[2]

Maksudnya: Wahai Rasulullah, aku telah dikurniakan seorang anak hitam. Baginda berkata: Adakah kamu memiliki unta? Jawabnya: Ya. Baginda berkata: Apakah warnanya? Jawabnya: Kemerahan. Baginda berkata: Wujudkah di antaranya yang berwarna kelabu? Jawabnya: Ya. Baginda berkata: Bagaimanakah ini berlaku? Jawabnya: Mungkin itu ada dalam keturunan terdahulu. Baginda berkata: Jadi, kemungkinan warna anakmu ini ada dalam keturunannya yang terdahulu.

Di samping itu, sebenarnya semua contoh-contoh dalil dalam al-Quran dan al-Sunnah merupakan dalil untuk al-Qiyas (penyamaan) kerana ianya mengandungi penyamaan sesuatu perkara dengan perkara yang menyerupainya.

Dalil daripada kata-kata Sahabat:

Sebuah riwayat tentang Umar bin al-Khattab di mana terdapat di dalam utusannya kepada Abu Musa al-Asy’ari berkenaan penghukuman, katanya, "Kemudian pentingkanlah kefahaman dan penghayatan terhadap masalah yang sampai kepadamu yang tidak terdapat hukumnya di dalam al-Quran dan al-Sunnah, lalu hendaklah kamu qiyaskan (pertimbangkan) perkara-perkara itu dan hendaklah kamu ketahui perkara-perkara yang seakan-akan sama, lalu hendaklah kamu cenderung menurut pandangan kamu kepada yang paling disukai oleh Allah Ta'ala dan merupakan yang terdekat kepada kebenaran."

Ibnu al-Qayyim telah berkata, "Ini merupakan satu utusan agung yang telah diterima pakai oleh para ulamak."

Al-Muzani pula telah menyatakan bahawa para al-Fuqaha’ dari zaman para sahabat sehinggalah ke zamannya telah berijmak bahawa perkara yang menyerupai kebenaran adalah kebenaran dan perkara yang menyerupai kebatilan adalah kebatilan. Mereka juga telah mengguna pakai al-Qiyas (penyamaan) untuk fiqh dalam semua hukum.

Syarat-syarat al-Qiyas (Penyamaan)

Al-Qiyas mempunyai beberapa syarat seperti berikut:

1. Tidak boleh bercanggahan dengan dalil yang lebih kuat daripadanya. Sekiranya al-Qiyas menyalahi nas, al-Ijma' dan kata-kata sahabat (di sisi mereka yang menganggapnya hujah), ianya adalah tertolak dan dinamakan Qiyas Fasid al-I'tibar (rosak pengiktirafannya). Contohnya: al-Qiyas yang mengatakan bahawa adalah sah seseorang wanita itu mengahwinkan dirinya tanpa wali berdasarkan kepada sahnya dia menjual beli hartanya tanpa wali. Ini merupakan al-Qiyas yang rosak pengiktirafannya kerana ianya bercanggahan dengan nas iaitu sabda Rasulullah s.a.w.:

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ.[3]
Maksudnya: Tiada nikah kecuali dengan wali.

2. Hukum asal mestilah sabit dengan nas atau al-Ijma'. Sekiranya hukum asal sabit dengan al-Qiyas lain, tidak boleh dibuat al-Qiyas lain berdasarkan asal itu. Akan tetapi boleh dibuat al-Qiyas kepada asal yang pertama kerana merujuk kepadanya adalah lebih utama. Juga kerana kemungkinan tidak sah diqiyaskan cabang kepada asal kedua. Juga kerana membuat al-Qiyas kepada cabang kemudian diqiyaskan pula cabang itu kepada asal merupakan pemanjangan yang tidak berfaedah. Contohnya dikatakan bahawa riba terdapat dalam urusan jagung kerana diqiyaskan kepada beras. Riba terdapat juga dalam urusan beras kerana diqiyaskan kepada gandum. Al-Qiyas seperti ini tidak sah. Sebaliknya hendaklah terus dinyatakan bahawa riba terdapat dalam urusan jagung kerana diqiyaskan kepada gandum, supaya al-Qiyas dilakukan terus kepada asal yang sabit dengan nas.

3. Hukum asal mestilah mempunyai sebab yang diketahui supaya dapat dikumpulkan antara asal dengan cabang dalam sebab itu. Sekiranya hukum asal berunsur ibadah semata-mata, tidak sah dibuat alQiyas ke atasnya. Contohnya dikatakan bahawa daging burung unta membatalkan wuduk kerana diqiyaskan kepada daging unta disebabkan kedua-duanya ada persamaan. Al-Qiyas ini tidak sah kerana hukum asal tidak mempunyai sebab yang diketahui, sebaliknya ianya berunsur ibadah di sisi kebanyakan ulama'.

4. Sebab mestilah merupakan erti yang berkaitan dengan hukum, yang dapat diketahui pengiktirafannya daripada kaedah Syara', seperti mabuk dalam khamr (arak). Sekiranya erti tersebut merupakan suatu sifat yang kebetulan, yang tidak mempunyai munasabah dengan hukum, tidak sah dijadikannya sebab kepada hukum, seperti warna hitam atau putih. Contohnya ialah hadith Ibnu Abbas bahawa selepas Barirah dibebaskan, beliau telah diberi pilihan ke atas suaminya. Ibnu Abbas berkata:

كَانَ زَوْجُ بَرِيرَةَ عَبْدًا أَسْوَدَ.[4]
Maksudnya: “Dan suaminya adalah seorang hamba hitam”.

Sifat hitam yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas merupakan satu sifat yang kebetulan dan tidak mempunyai kaitan dengan hukum. Jadi, seorang hamba perempuan yang dibebaskan tetap diberi pilihan ke atas suaminya yang masih hamba walaupun dia berkulit putih. Dia juga tetap tidak diberi pilihan ke atas suaminya sekiranya suaminya merdeka dan berkulit hitam.

5. Sebab mestilah wujud di dalam cabang sebagaimana ianya wujud di dalam asal, seperti menyakiti dalam memukul kedua ibu bapa yang diqiyaskan kepada menyebut "uf". Sekiranya sebab itu tidak wujud dalam cabang, tidak sah al-Qiyas tersebut. Contohnya dikatakan bahawa sebab pengharaman riba dalam gandum ialah kerana ianya tergolong dalam perkara yang ditimbang. Kemudian diqiyaskan kepadanya pengharaman riba dalam epal. Al-Qiyas ini tidak sah kerana sebabnya tidak wujud dalam cabang kerana epal bukanlah tergolong dalam perkara yang ditimbang.

Jenis-jenis al-Qiyas (Penyamaan)
Al-Qiyas terbahagi kepada dua iaitu jelas dan tersembunyi, seperti berikut:

1- Al-Qiyas al-Jali (Jelas) ialah al--Qiyas yang sebabnya sabit dengan nas atau al-Ijma' atau sebabnya amat jelas dan pasti kerana tiada perbezaan antara asal dan cabangnya.

Contoh : bagi al-Qiyas yang sebabnya sabit dengan nas ialah larangan bersuci dengan darah kering yang najis diqiyaskan kepada larangan bersuci dengan tahi binatang. Sebab hukum asal sabit dengan nas di mana Ibnu Mas’ud telah datang kepada Nabi s.a.w. dengan membawa dua ketul batu dan tahi binatang supaya digunakan oleh Baginda s.a.w. untuk bersuci. Baginda s.a.w. mengambil dua ketul batu itu dan melemparkan tahi binatang itu seraya berkata:

هَذَا رِكْسٌ.[5]
Maksudnya: “Ini riks (najis).”

Contoh bagi al-Qiyas yang sebabnya sabit dengan al-Ijma' ialah Nabi s.a.w. telah melarang seseorang Qadi daripada menghukum dalam keadaan marah.[6] Qiyas larangan Qadi menghukum dalam keadaan menahan air kecil kepada larangan menghukum dalam keadaan marah adalah merupakan al-Qiyas yang jelas kerana sebab bagi asalnya iaitu fikiran terganggu dan hati tidak tenteram telah sabit dengan al-Ijma'.

Contoh bagi al-Qiyas yang pasti kerana tiada perbezaan antara asal dan cabang ialah larangan memusnahkan harta anak yatim dengan dipakai. Ini diqiyaskan kepada larangan memusnahkan harta anak yatim dengan dimakan, kerana adalah jelas bahawa tiada perbezaan antara kedua-duanya.

2. Al-Qiyas al-Khafi (Tersembunyi): ialah al-Qiyas yang sebabnya sabit dengan al-Istinbat dan tidak dapat dipastikan ketiadaan perbezaan antara asal dan cabang.

Contohnya: Pengharaman riba dalam al-ashnaan[7] diqiyaskan kepada pengharaman riba dalam gandum kerana sebabnya ialah kedua-duanya tergolong dalam perkara yang ditimbang. Sebab ini tidak terdapat dalam nas, ijmak dan bukan sebab yang pasti kerana tiada perbezaan antara asal dan cabang. Ini kerana ada kemungkinan dibezakan antara dua benda tersebut bahawa gandum tergolong dalam makanan manakala al-ashnaan tidak.

Qiyas al-Syabah (Penyamaan seiras)

Terdapat satu jenis al-Qiyas yang dinamakan Qiyas al-Syabah (penyamaan seiras). Maksudnya ialah terdapat satu cabang yang berada di antara dua asal yang berbeza hukum di mana cabang tersebut mempunyai iras dengan setiap satu daripada kedua-dua asal tersebut. Di sini cabang ini digolongkan kepada asal yang paling banyak iras dengannya.

Contohnya: seorang hamba; adakah dia mempunyai hak memiliki iaitu dengan diqiyaskan kepada orang merdeka, atau adakah dia tidak mempunyai hak memiliki iaitu dengan diqiyaskan kepada binatang? Apabila kita melihat kepada dua asal ini iaitu orang merdeka dan binatang, kita dapati hamba tadi berada di tengah. Dari sudut sifatnya sebagai manusia yang berakal, diberi balasan pahala dan balasan dosa, diberi hak bernikah dan menceraikan; dia menyerupai manusia. Dari sudut sifatnya dijual beli, boleh digadai, diwakafkan, dihadiahkan, diwarisi dan boleh diuruskan seperti harta; dia menyerupai binatang. Sebenarnya kita dapati hamba itu dari sudut urusan kehartaan lebih menyerupai binatang. Dengan ini dia digolongkan kepada binatang. Jenis al-Qiyas ini adalah lemah kerana tidak terdapat sebab yang sesuai kecuali bahawa cabangnya seiras dengan salah satu asal dalam kebanyakan hukum-hukum di samping terdapat asal lain yang merebut keirasannya.

Qiyas al-‘Aks (Penyamaan dari sudut berlawanan)

Terdapat satu jenis al-Qiyas yang dinamakan Qiyas al-‘Aks (penyamaan dari sudut berlawanan). Maksudnya ialah penetapan lawan kepada hukum asal untuk cabang kerana wujudnya lawan kepada sebab hukum asal dalam cabang itu.

Contohnya ialah hadith berikut:
وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟
قَالَ أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ
إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرًا.[8

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda “Dan di dalam urusan kemaluan seseorang kamu ada sedekah.” Sahabat berkata “Wahai Rasulullah, adakah sekiranya seseorang dari kami mendatangi syahwatnya, dia akan memperoleh pahala?” Jawab Baginda “Tidakkah kamu memerhatikan sekiranya dia meletakkannya di dalam urusan yang haram, bukankah dia memperoleh dosa; begitulah halnya sekiranya dia meletakkannya di dalam urusan yang halal, pasti dia memperoleh pahala.”

Di dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w. telah menetapkan bagi cabang iaitu persetubuhan yang halal, satu hukum yang merupakan lawan kepada hukum asal iaitu persetubuhan yang haram kerana wujudnya lawan kepada sebab hukum asal dalam cabang. Baginda telah menetapkan pahala bagi cabang kerana ianya adalah persetubuhan halal sebagaimana Baginda s.a.w. menetapkan dosa bagi asal kerana ianya adalah persetubuhan haram.

Kandungan
--------------------------------------------------------------------------------
[1] Sahih Muslim, Kitab al-Shiyam, Bab Qadha' al-Shiyam 'an al-mayyit, No. 1938.
[2] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Talaq, Bab Iza 'uridha bi nafy al-walad, No. 4893.
[3] Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Nikah, Bab Ma ja' la nikah illa bi wali, No. 1020. Hadith sahih, lihat Saih al-Jami' oleh al-Albani, No. 7556, 7557 dan 7558, juga Sahih Sunan al-Tirmizi oleh al-Albani, No. 1101. (penterjemah)
[4] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Thalaq, Bab Khiyar al-amah taht al-'abd, No. 4874.
[5] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wudhu', Bab La yustanja bi rauts, No. 152.
[6] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, Bab Hal yaqdi al-qadhi aw yufti wa huwa ghadhban, No.6625.
[7] al-Ashnaan ialah sejenis tumbuhan wangi yang dikeringkan dan dihiris untuk dijadikan bahan pembersih (seperti serbuk sabun).
[8] Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, Bab Bayan anna ism al-shadaqah yaqa' 'ala kull nau', No. 1674.

Comments

Popular posts from this blog

Kesan Beriman Kepada Rukun Iman ( Part 1 )

Kesan Beriman Kepada Rukun Iman ( Part 1 ) Ramai yang tidak tahu akan kesan beriman kepada RukunIman ini,rata-rata umat islam hanya mengetahui akan Rukun Iman serta isinya sahaja. Maka tiada meberi impak pada hati dan rohani kita sebagai umat Islam dan hamba Allah disi akan mengakibat terjejasnya Amal Ma'aruf Nahi Mungkar . Kesan Beriman Kepada Allahswt . 1) Akan melahirkan manusia yang sanggup berkorban,ikhlas,jujur,merendah diri,benar & mengenepikan masalah peribadi. 2) Menghalang daripada melakukan maksiat dan sebarang keburukkan,sebab segala kegiatan atas aktiviti yang dijalankan akan tunduk dibawah kekekuasaan dan pengaruh iman kepada Allahswt. 3) Menyuluh kita segala liku hidup yang gelap kepada cahaya mendapatkan kekuatan dan perlindungan kepada Allah apabila ditimpa kesusahan.Kerana telah menjadi adat manusia ada masa ia susah ada masa ia senang, oleh itu kepada mereka yang beriman kepada Allah ia akan meminta perlindungan kepada Allah tetapi kepada mereka tang tidak be

Peperangan Uhud

Petunjuk Arah Peta Tentera berkuda musyrikin yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal menyerang dan mencederakan tentera muslimin Kubu pertahanan tentera Islam sebelum peperangan Tentera memanah muslimin menyerang tentera musyrikin di atas bukit 'Ainain Kubu pertahanan tentera Musyrikin sebelum peperangan Pemanah muslimin turun dari tempat pertahanan mereka (Bukit 'Ainain) unutk berdepan dengan orang musyrikin Persiapan Quraisy Untuk Pertempuran Ganas Makkah dibakar bahang api kemarahan terhadap kaum muslimin. Ini adalah ekoran natijah kekalahannya dipertempuran Badar. lanya adalah suatu tragedi kerana kekalahan dan kematian pemuka-pemukanya. Desakan menuntut bela di atas kematian wira-wira Quraisy memuncak, pihak Quraisy melarang sebarang ratapan di atas kematian itu, dan melarang penebusan segera ke atas tawanan perang, supaya tidak dilihat oleh kaum muslimin betapa berdukacitanya mereka dengan peristiwa yang tragedik itu. Selepas peperangaan Badar sel

Ulum Hadis Part 1

Bak kata pepatah sesetengah orang As-Sunnah ,Ulum Hadis serta Ulum Al-Quran memang tidak dapat dipisahkan dari Umat Islam dari sejak zaman Nabi Muhammad.saw dan masuk ke zaman Sahabat masuk pula zaman Tabi’in dan hingga kehari ini . Ia seumpamanya satu rangkaian yang erat dan konsep yang besar dalam kehidupan harian atau rutin yang dilalui oleh Umat Islam . Adakah kita memahami pengertian setiap satu yang berada didalam rangkaian itu.Misalannya As-Sunnah yang selalu kita dengari setiap masa,hari dan tahun didalam mana-mana ceramah mengajak kita mengikuti As-Sunnah Rasulullah . Disini akan di terangkan pengertian As-Sunnah serta bahagiannya . 1) PENGERTIAN : As-Sunnah berdasarkan laman sesawang Wikipedia adalah cara atau kebiasaan dan dengan itu sunnah nabi bererti cara nabi atau apa yang biasa dikenali dengan kebiasaan rasul-rasul (1) . Pada bahasa ( لغة) iaitu dalam Bahasa Arabnya al-Tariqah al-Mu’Tadah ertinya cara / peraturan sesuatu amalan yang dilakukan berulang kali,