Skip to main content

PETA PEMIKIRAN ASTORA JABAT DALAM ISU 'AURAT

PETA PEMIKIRAN ASTORA JABAT DALAM ISU 'AURAT


Bagi sebahagian muslimin yang tidak begitu biasa dengan istilah-istilah dan kitab-kitab para ulama dan tokoh cendiakawan Islam, mungkin merasa hebat apabila mendengar atau membaca seseorang menggunakannya dalam ucapan dan tulisannya. Dengan kekaguman itu mereka seolah terpukau sehingga tidak dapat menilai sejauh manakah kebenaran fakta yang dibawa. Demikian halnya sebahagian yang membaca tulisan-tulisan Astora Jabat. Dengan menyebut beberapa tulisan Arab dan mempermudahkan dalam menyandarkan sesebuah pendapat kepada sesuatu mazhab, tanpa membuat semakan detail ketepatannya, maka Astora cuba mempengaruhi sesiapa yang boleh dipengaruhinya.
Tulisan ini adalah siri awal yang cuba mengajak umat Islam di negara melihat di manakah letak pemikiran Astora Jabat dalam kerangka pemikiran modern. Pada peringkat ini saya hanya bercadang untuk melihat secara umum kedudukan aliran pemikiran Astora. Terlebih dahulu, saya juga ingin pembaca memahami bahawa saya tidak berniat jahat atau berhasad dengannya. Saya hanya mengenali beliau dari cara dan gaya serta aliran yang diambil dalam tulisannya.

Sebenarnya, segala yang cuba dicanang dan ditonjolkan oleh Astora bukan perkara baru dalam sejarah serangan atau pandangan pemikiran Barat terhadap Islam dan umatnya. Bagi saya Astora tidak lebih hanya menceduk tulisan beberapa buku dan tokoh serta nota kaki mereka kemudian mengemukakan kepada umat Islam di Malaysia seolah-oleh itu adalah kajian beliau.

Saya juga percaya bahawa senarai kitab-kitab atau pandangan-pandangan mazhab yang disebut oleh Astora, kebanyakan beliau sendiri tidak pernah merujuk dan menyemaknya sebaliknya hanyalah sekadar menceduk apa yang disebut oleh penulis yang lain Kaedah ini sebenar melanggar disiplin ilmiah dunia akademik. Cara ini hanya dilakukan oleh seseorang yang tidak mementingkan ketulenan fakta. Dia lupa bahawa pandangan-pandangan yang berikan oleh setiap tokoh diukur ketepatannya dengan al-Quran dan as-Sunnah ath-Thabitah bukan sekadar memungutnya. Sejak sekian zaman umat Islam yang memegang aliran Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah bersepakat tanpa khilaf bahawa segala perselisahan rujukannya ialah al-Quran dan as-Sunnah. Nas-nas dalam hal ini sangat banyak yang tidak perlu diulangi. Pandangan setiap individu ditimbang dengan timbangan ini.

Sebagai contoh cuba lihat sikap Astora terhadap aurat wanita yang disiarkan pada 17 Oktober 1999 dalam Utusan Malaysia. Beliau cuba membawa suatu pandangan yang menganggap rambut wanita bukanlah `aurat dan menutup kepala itu sebenarnya menutup akal. Pandangan ini sebanar tidak lebih hanya petikan pandangan dua orang tokoh Mesir yang mendewakan kehidupan Barat iaitu Al-`Ashmawi dan `Abd al-`Azim Ramadhan. Keduanya menganggap kepala wanita bukanlah `aurat dan menutup kepala itu sebenarnya menutup akal. Pandangan mereka yang batil itu telah dijawab oleh Mufti Mesir Muhammad `Ali at-Tantawi dan tokoh mufassir Mesir, as-Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi r.h. Sesiapa yang inginkan pendetilannya boleh rujuk buku “al-Gharah `ala al-Hijab”. Buku tersebut menyebut hujah-hujah kedua lelaki berkenaan serta jawapan at-Tantawi dan al-Mutawaali asy-Sya’rawi terhadap mereka.

Perjuangan menentang hijab berlaku sejak dahulu lagi. Kononnya hijab adalah punca kemunduran dunia Islam. Mereka lupa bahawa punca kemunduran sebenar kerana kita meninggalkan agama yang tulen dan membiarkan kepalsuan, bid`ah serta kemungkaran hidup dalam masyarakat. Mereka ini akan cuba mengulas nas agar menepati selera dan kehendak mereka. Marqus Fahmi dalam tulisannya al-Marah fi asy-Syarq juga mempertikaikan hijab. Ini telah dijawab oleh tokoh-tokoh Islam semasa termasuk Anwar al-Jundi.




Persoalan aurat sudah banyak dibahaskan. Setiap pengkaji Islam boleh merujuk kitab-kitab tafsir yang beralaskan nas-nas syarak dalam menafsirkan Surah al-Ahzab 59 dan an-Nur 60. Para ulama dalam ini, ada yang bertegas menyatakan seluruh tubuh wanita adalah `aurat. Ini seperti yang dipegang oleh kebanyakan ulama di Saudi sekarang. Sesiapa yang ingin pendetilan bolehlah merujuk kepada kitab-kitab fatwa masyaikh di Saudi antaranya buku al-Hijab yang ditulis oleh as-Syeikh Soleh Fauzan. Sementara jumhur ulama pula menyatakan muka dan tapak tangan tidak termasuk dalam `aurat. Hujah-hujah yang kuat dalam masalah ini telah dijelaskan as-Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Niqab lil al-Mar ah baina al-Qaul bi bid`atih wa al-Qaul bi Ujubih. Saya amat cenderung kepada pendapat jumhur ini. Ada fuhaqa dari Mazhab Ahnaf (Hanafi) yang lebih longgar, membenarkan pergelangan kaki dibuka. Abd al-Karim Zaidan telah menghimpunkan perbincangan ini dalam tulisannya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah. Saya tidak bercadang untuk mendetilkan persoalan ini sebaliknya sekadar untuk menjelaskan bahawa adalah lebih baik para pembaca merujuk kepada para ilmuan dan cendiakawan Islam yang dipercayai agamanya dari merujuk kepada sesiapa sahaja yang diragui diri dan ilmunya.

Di samping itu saya mencabar Astora untuk mendetilkan alasannya yang menyatakan kepala wanita tidak dikira `aurat. Persoalannya, mengapakah isu tutup `aurat sering kali diserang ? Apakah tujuannya?





Serangan ini muncul sejak lama lagi. Antara puncanya adalah tindakbalas umat Islam terhadap perkembangan yang berlaku di dunia Barat. Barat yang sebelumnya ketinggalan jauh di bandingkan kemajuan yang pernah dicapai oleh umat Islam kembali berjaya menguasai tamdun kebendaan dan cuba memunculkan diri mereka sebagai simbol kejayaan tamadun manusia moden. Ini sebenarnya hasil kecuaian umat Islam terutama golongan agama dan pemerintah. Justeru itu semua pandangan bangsa-bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam. Barat telah dianggap kononnya simbul kepada gaya hidup zaman modern, juga kononnya mereka adalah pejuang hak dan kebebasan manusia moden.

Dalam menghadapi cabaran ini dunia umat Islam yang tidak mahu dianggap ketinggalan zaman maka munculnya tiga sikap utama muncul dalam melihat kemajuan dunia Barat.

Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti Taha Hussain di Mesir. Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan. Katanya dalam bukunya Mustaqbal ath-Thaqafah fi Misr, “Jalan ke arah itu hanyalah satu..iaitu kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamudunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai”. Bahkan dalam beberapa tempat beliau dengan jelas mengajak agar Mesir meniru Eropah sekalipun dalam beragama. Bagi golongan ini, menutup `aurat sudah pasti ditentang oleh mereka kerana ianya boleh membezakan kita dengan Barat.
Ahmad Reda Bik yang merupakan penyeru agar ditumbangkan sistem pemerintahan Islam di Turki menganggap bahawa selagi lelaki dan wanita Turki tidak bercampur bebas dan membuka hijabnya maka tiada kedaulatan undang-undang dan kebebasan di Turki. (lihat: al-Ittijah al-Wataniah fi al-Adab al-Mu`asir, jld 2, m.s. 273)


Golongan yang kedua, mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa yang mereka lakukan ialah cuba menafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau as-Sunnah yang menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan cara hidup di Barat. Di zaman ini mereka dikenali dengan Islam ala Amarika. Bagi mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam manhaj Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut oleh al-Qaradawi dalam al-Marji`iyyah al-`Ulya fi al-Islam, “Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan”.
Kalaulah sekiranya wanita Barat memakai purdah, percayalah mereka sungguh-sungguh mempertahankan dalil wajib memakai purdah. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka kumpulkan dalil wajib bertudung kepala. Namun oleh kerana mereka melihat dunia Barat tidak menutup `aurat seperti wanita Islam maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai dengan keadaan tersebut. Lihat apa kata seorang tokoh mereka, Dr. `Imad `Abd al-Hamid an-Najar dalam Jaridah al-`Akhbar, “..adapun mengenai hijab dan percampuran antara wanita dan lelaki dalam kehidupan harian, ini adalah perkara yang boleh ditentukan oleh sesebuah masyarakat berdasarkan keadaannya. Bagi setiap masyarakat ada pakaian dan cara-cara yang memudahkan individunya. Apa yang disebut oleh al-Quran mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri Rasulullah. Hukum-hakam ini bukan lah semestinya berkaitan dengan seluruh wanita.”

Ini adalah jelas, sama seperti Astora. Dewasa ini ianya dikenali sebagai aliran Islam Amerika. Mereka ini tidak menyatakan yang mereka inginkan tinggalkan agama tetapi mereka tafsirkan agama seiras pandangan-pandangan umum yang diterima oleh masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam pengkajian nas hendaklah nas-nas yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan tafsiran nas. Kata tokoh tafsir terkenal di zaman ini, Dr. Solah al-Khalidi dalam buku Mafatih li at-Ta`amul ma`a al-Quran: “Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran yang luas dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang membawa bersamanya (dalam memasuki alam al-Quran) himpunan ilmu pengetahuan, thaqafah, akhlaq, adat istiadat dan sikap yang bertentangan dengan arahan al-Quran, maka cahaya al-Quran terhalang darinya. Ada pula yang memasuki alam al-Quran dengan suatu pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia melihat al-Quran maka terhalanglah pandangannya, lantas dia terjatuh dalam kekaburan dan kekeliruan. Ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya..”

Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi dengan kehendak yang diputuskan. Inilah cara al-Quran diperalatkan. Sesiapa yang ingin penjelasan yang detil dalam bab ini, dia boleh merujuk kepada buku tulisan al-Khalidi di atas. Astora nampak begitu tekun meliti jalan ini. Jalan yang memaksa al-Quran dan as-Sunnah mengikut keputusan yang dibuat bukannya keputusan yang bakal dibuat mengikut al-Quran.

Golongan ketiga menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan diakui, bahkan kemajuan yang dinikmati di Barat adalah cedukan dari kemajuan yang pernah wujud di dunia Islam dahulu. Bukan semua yang ada di Barat mesti ditolak. Namun bukan semua mesti diterima. Timbangannya ialah tafsiran yang betul terhadap nas-nas- al-Quran dan as-Sunnah. Islam adalah agama yang hidup dan sesuai untu segala masa dan zaman. Kaedah syara’ juga menyatakan bahawa “tidak dinafi perubahan hukum dengan perubahan zaman”. Tetapi hendaklah dibezakan bahawa di dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap dan yang boleh berubah. Inilah golongan dan pendirian umat Islam yang lurus dengan agamanya. Adalah dicadangkan kepada Astora Jabat melaluinya.

Tujuan Astora Jabat

Saya melihat tujuan Astora menulis tidak lebih melainkan untuk kepentingan golongan tertentu dalam negara ini. Terutama golongan politik pemerintah. Tulisannya yang fakir dari perasaan takutkan Allah dan sunyi dari penghormatan terhadap tokoh-tokoh umat. Racun-racun yang Astora yang taburkan dalam tulisannya adalah sama dengan racun-racun yang pernah ditaburkan oleh golongan orientalis sejak dahulu. Saya seakan-akan dapat memaafkan orientalis kerana mereka memang tidak beragama dengan agama ini, bagaimana meraka akan menyokongnya. Namun Astora Jabat menyatakan dirinya muslim tetapi sering menggunakan racun yang sama. Ini sesuatu yang sukar dimaafkan.

Dengan penuh kesedaran juga, saya katakan, masih ada perkara-perkara yang berhajat kepada semakan di dalam ajaran Islam yang diamalkan, terutama yang membabitkan persoalan ijtihad. Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji perasaan takutkan Allah dalam memetik hukum-hakam, bukan tamakkan pangkat dan harta. Pintu ijtihad terbuka dan tiada siapa berhak menutupnya. Bagaimanapun bagi ijtihad itu ada syarat-syarat yang tidak boleh diketepikan dengan mudah.

Comments

Popular posts from this blog

Peperangan Uhud

Petunjuk Arah Peta Tentera berkuda musyrikin yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal menyerang dan mencederakan tentera muslimin Kubu pertahanan tentera Islam sebelum peperangan Tentera memanah muslimin menyerang tentera musyrikin di atas bukit 'Ainain Kubu pertahanan tentera Musyrikin sebelum peperangan Pemanah muslimin turun dari tempat pertahanan mereka (Bukit 'Ainain) unutk berdepan dengan orang musyrikin Persiapan Quraisy Untuk Pertempuran Ganas Makkah dibakar bahang api kemarahan terhadap kaum muslimin. Ini adalah ekoran natijah kekalahannya dipertempuran Badar. lanya adalah suatu tragedi kerana kekalahan dan kematian pemuka-pemukanya. Desakan menuntut bela di atas kematian wira-wira Quraisy memuncak, pihak Quraisy melarang sebarang ratapan di atas kematian itu, dan melarang penebusan segera ke atas tawanan perang, supaya tidak dilihat oleh kaum muslimin betapa berdukacitanya mereka dengan peristiwa yang tragedik itu. Selepas peperangaan Badar sel...

Kesan Beriman Kepada Rukun Iman ( Part 1 )

Kesan Beriman Kepada Rukun Iman ( Part 1 ) Ramai yang tidak tahu akan kesan beriman kepada RukunIman ini,rata-rata umat islam hanya mengetahui akan Rukun Iman serta isinya sahaja. Maka tiada meberi impak pada hati dan rohani kita sebagai umat Islam dan hamba Allah disi akan mengakibat terjejasnya Amal Ma'aruf Nahi Mungkar . Kesan Beriman Kepada Allahswt . 1) Akan melahirkan manusia yang sanggup berkorban,ikhlas,jujur,merendah diri,benar & mengenepikan masalah peribadi. 2) Menghalang daripada melakukan maksiat dan sebarang keburukkan,sebab segala kegiatan atas aktiviti yang dijalankan akan tunduk dibawah kekekuasaan dan pengaruh iman kepada Allahswt. 3) Menyuluh kita segala liku hidup yang gelap kepada cahaya mendapatkan kekuatan dan perlindungan kepada Allah apabila ditimpa kesusahan.Kerana telah menjadi adat manusia ada masa ia susah ada masa ia senang, oleh itu kepada mereka yang beriman kepada Allah ia akan meminta perlindungan kepada Allah tetapi kepada mereka tang tidak be...

Siapakah Nabi Yusha` bin Nun?

Siapakah Nabi Yusha` bin Nun? Assalamualikum.. Hari ini merupakan 10 zulhijjah 1430, selepas selesai solat & mendengar khutbah raya. Saya dan rakan terus pulang ke rumah. Seterusnya semua mereka bersiap untuk menghadiri jemputan ke rumah En. Sulaiman. Lain pula bagi saya & rakan sebilik (usama) bersiap untuk berjumpa tetamu warga Malaysia yang berkunjung di bumi syam Jordan ini. Ditugaskan untuk membawa mereka melancong. Excited sangat, maklumlah kali pertama membawa orang melawat kawasan Jordan. Memang sebelum ini saya bercita-cita mahu mencari pengalaman selain ingin mengenali Jordan ini dengan lebih lagi. Antara tempat yang kami lawati pada hari pertama raya haji ini adalah makam Nabi Syuaib a.s., laut mati, gua ashabul kahfi & Jabal Qala`ah. Ke mana-mana sahaja tempat kami lawati ada sahaja cerita yang kami (saya & sahabat tadi)ketengahkan. Terutama sekali sewaktu di Makam Nabi Allah Syuaib a.s. saya berlagak sebagai seorang penterjemah, bila seorang penjaga menceri...