Skip to main content

Urus Jenazah (1)

ORANG YANG HAMPIR MATI
  1. Orang yang sakit, yang hampir menghembuskan nafasnya yang akhir, hendaklah dihadapkan ke kiblat,
    dibaringkan di atas labungan yang kanan, mukanya dan dadanya dihadapkan ke kiblat, kalau tidak boleh telentangkan akan dia, dua tapak kaki halakan ke kiblat.
  2. Hendaklah diajarkan mengucap kalimah tauhid dengan tidak bertubi-tubi, tetapi jika ia berkata dengan kalimah (perkataan) yang lain, hendaklah diajar balik dengan kalimah tauhid.
  3. Dibacakan surah Yassin dan surah Al-Ra'du.

Perkara Yang Dilakukan Setelah Mati
  1. Apabila telah mati (yakin matinya), hendaklah ditutup matanya, diikat dagunya supaya jangan terbuka mulutnya, dilembutkan sendi-sendinya dengan minyak, ditutup seluruh badannya dengan kain dan diletakkan di tempat yang tertinggi, umpamanya di atas katil, dan diletakkan di atas perutnya benda-benda yang beratnya satu lb.
  2. Ahli-ahli mayat itu hendaklah berikhtiar membayarkan hutangnya daripada harta peninggalannya atau daripada pertolongan ahli-ahli mayat itu atau seorang waris atau orang lain membuat pengakuan (berikrar) membayar akan hutangnya.
  3. Hendaklah disebutkan kebaikannya dan mendoakan keampunan baginya.

KEWAJIPAN-KEWAJIPAN YANG BERHUBUNG DENGAN MAYAT

Manakala mati seseorang islam, maka wajiblah di atas orang-orang yang hidup sebagai fardhu kifayah menyelenggara empat perkara ke atasnya (mayat):

1. Memandikan
2. Mengkafankan
3. Menyembahyangkan
4. Mengkebumikan

Peringatan:
Semua perbelanjaan bagi menguruskan perbelanjaan ini daripada harta peninggalannya (si mati) kecuali isteri, maka wajib atas suaminya, anak kecil wajib ke atas bapanya, sekiranya tidak ada, maka tertanggunglah ke atas Baitulmal, sekiranya Baitulmal pun tak ada juga, maka tertanggunglah ke atas orang Islam yang kaya.

Memandikan Mayat

Sekurang-kurangnya mandi bagi mayat itu ialah meratakan air ke seluruh anggota badannya, setelah disuci najis-najis, yang sebaik-baiknya : Dimandikan di tempat yang suci, sekiranya ada yang memandikan dan penolongnya sahaja yang berada di tempat itu.

  1. Dimandikan di tempat yang tinggi yang telah disediakan kerananya.
  2. Ditutup mayat itu dengan kain yang menutup kesemua bahagian diantara pusat dan lutut sahaja.
  3. Orang yang memandikan mayat atau penolongnya hendaklah memakai sarung tangan.
  4. Mula-mula digosok giginya, mulutnya, dibersihkan najis-najis yang keluar dan disisir rambutnya.
  5. Diambilkan wuduk ke atasnya.
  6. Dijiruskan air ke atas lambung kanan setelah dibaringkan di atas lambung kiri kemudian dibaringkan ke atas lambung kanan dan dijirus air di atas lambung kiri.
  7. Dibasuh 3 kali atau 5 kali atau lebih dengan air sejuk.
  8. Elok dipakai sabun atau sebagainya.
  9. Basuhan yang penghabisan elok dicampur dengan kapur barus dan bau-bauan yang harum
  10. Apa-apa yang tercabut atau yang gugur dimasa mandinya, seperti rambut dan sebagainya, hendaklah disimpan dan diletakkan di dalam kafan bersama dengan mayat itu.

Peringatan:
Kanak-kanak lelaki yang masih qoulub (belum berkhatan), hendaklah dibuka dan dicuci, jika boleh dan senang, dan jika tidak hendaklah ditayamumkan sahaja.

YANG BERHAK MEMANDIKAN MAYAT

  1. Lelaki tidak boleh memandikan mayat perempuan kecuali isteri atau muhrimnya.
  2. Perempuan tidak boleh memandikan mayat lelaki kecuali suaminya atau muhrimnya.
  3. Yang lebih utama memandikan mayat perempuan ialah kerabatnya yang perempuan, kemudian perempuan-perempuan yang bukan kerabatnya, kemudian suaminya, demikian juga kepada mayat lelaki kerabatnya yang lebih berhak, kemudian lelaki yang bukan kerabatnya.
  4. Sekiranya berlaku kematian seorang perempuan, dan di tempat itu tidak ada seorang perempuan pun, maka hendaklah ditayamumkan dan tidak boleh dimandikan oleh lelaki, demikian juga suaminya.
  5. Manakala bagi mayat kanak-kanak pula, samada lelaki atau perempuan boleh memandikan.
Peringatan :
  • Haram dimandikan mayat yang mati dalam perang Sabilillah.
  • Haram menaruh bau-bauan kepada yang mati di dalam ihram.
  • Haram ditutup muka perempuan dan kepala lelaki bagi orang yang mati di dalam ihram.
  • Juzuk mayat orang Islam wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan.

MENGKAFANKAN

Dikafankan mayat dengan pakaian yang boleh dipakainya di masa hidupnya dan berwarna putih lebih elok; kain sutera boleh digunakan untuk mengkafankan mayat perempuan sahaja.
Sekurang-kurang kafan ialah satu lapis sahaja, demikian juga pada kanak-kanak, dan harus ditambah di bawah balut itu, serban dan baju labuh, dan yang sempurna bagi perempuan lima, iaitu kain pinggang, kain tudung, baju dan dua lapis kain balut.

CARA-CARA MENGKAFANKAN MAYAT

Disediakan satu tikar dan satu bantal, kemudian dibentangkan kain kafan yang tiga lapis atau dua lapis itu sehelai demi sehelai dan lapisan yang tersentuh dengan mayat itu, hendaklah ditaburkan dengan bau-bauan yang telah disediakan dan dipercikkan air mawar, kemudian letakkan mayat di atas kain itu dan ditampal mukanya, telinganya, punggungnya, tapak tangan dan tapak kakinya dengan kapas, kemudian dibalut hingga habis lapis balut itu.Kain balut hendaklah diikat di hujung kepalanya, di tempat letak tangannya, di kemaluannya, di lututnya dan di hujung kakinya, ikatan di kemaluannya disimpul di tengah-tengah. Adapun serban, baju labuh (Qamis), kain dan tudung kepala dipakaikan sebelum dibalut.

Peringatan :
1. Makruh dikafankan mayat itu dengan kain yang mahal.
2. Kain yang telah dibasuh lebih baik daripada kain yang baru.
3. Ikatan kain balut hendaklah dilonggarkan simpulannya apabila mayat ya
ng telah dibaringkan di dalam kubur.


Comments

Popular posts from this blog

Bersabarlah Duhai Hati

Bersabarlah Duhai Hati Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Liha...

Peperangan Uhud

Petunjuk Arah Peta Tentera berkuda musyrikin yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal menyerang dan mencederakan tentera muslimin Kubu pertahanan tentera Islam sebelum peperangan Tentera memanah muslimin menyerang tentera musyrikin di atas bukit 'Ainain Kubu pertahanan tentera Musyrikin sebelum peperangan Pemanah muslimin turun dari tempat pertahanan mereka (Bukit 'Ainain) unutk berdepan dengan orang musyrikin Persiapan Quraisy Untuk Pertempuran Ganas Makkah dibakar bahang api kemarahan terhadap kaum muslimin. Ini adalah ekoran natijah kekalahannya dipertempuran Badar. lanya adalah suatu tragedi kerana kekalahan dan kematian pemuka-pemukanya. Desakan menuntut bela di atas kematian wira-wira Quraisy memuncak, pihak Quraisy melarang sebarang ratapan di atas kematian itu, dan melarang penebusan segera ke atas tawanan perang, supaya tidak dilihat oleh kaum muslimin betapa berdukacitanya mereka dengan peristiwa yang tragedik itu. Selepas peperangaan Badar sel...

Alam Roh Yang Berbeza

Alam Roh Yang Berbeza Pada suatu hari, Abu Bakar r.a telah ditanya oleh seorang sahabat tentang ke mana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a : "Ruh itu menuju ke tujuh tempat" · Ruh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adni.  · Ruh para ulama menuju ke syurga Firdaus.  · Ruh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.  · Ruh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka.  · Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.  · Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.  · Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka disiksa beserta jasadnya sampai hari kiamat. Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa : "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah" · Orang-orang yang mati syahid.  · Orang-orang ...