Skip to main content

Hari Guru 2010

Sampena Hari Guru pada 16.05.2010 ( Ahad ) 

Sabarlah, Cikgu
www.iLuvislam.com
Mohd Zul Roslan a.k.a. Anak_Pejuang* 
Editor: b_b




Di Waktu Pagi

Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1 kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana ada tugasan yang diberi sebegitu - maklumlah sekolah pun di kawasan pedalaman). Sabarlah cikgu...


Semasa Sesi Pengajaran

Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...

Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "Si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool, kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas". Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik ke kelas. Sabarlah cikgu...

Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "Mana kerja rumah?". Dijawab pula "Lupa cikgu"(padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja). Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya. Cikgu pun bertanya, "Faham tak? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "Faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Sabarlah cikgu...

Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "Tak tahu", "Lupa", "Jaga adik". Sabarlah cikgu..

Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan. Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu...






Sesudah Habis Mengajar

Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.

Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...

Cikgu pun tidak kisah.. semasa di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - AlhamduliLlah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya... Sabarlah cikgu...

Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan "terima kasih cikgu".

Sekadar berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah payahnya di dalam mendidik anak bangsa. Kepada ustaz, ustazah, cikgu, guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini... Terima kasihku ucapkan... 





* Mohd Zul Roslan (username, Anak_Pejuang) adalah penulis jemputan iLuvislam.com. Beliau juga merupakan  moderator  agama forum iLuvislam.com dan berkerjaya sebagai seorang guru. Sumber artikel: Blog Penulis.

Comments

Popular posts from this blog

Bersabarlah Duhai Hati

Bersabarlah Duhai Hati Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Liha...

Alam Roh Yang Berbeza

Alam Roh Yang Berbeza Pada suatu hari, Abu Bakar r.a telah ditanya oleh seorang sahabat tentang ke mana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a : "Ruh itu menuju ke tujuh tempat" · Ruh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adni.  · Ruh para ulama menuju ke syurga Firdaus.  · Ruh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.  · Ruh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka.  · Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.  · Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.  · Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka disiksa beserta jasadnya sampai hari kiamat. Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa : "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah" · Orang-orang yang mati syahid.  · Orang-orang ...

ABC Dan Nama

ABC Dan Nama "Abang, betul tak adik tulis huruf ini?",  pinta seorang adik kecil kepada abangnya. Lelaki itu atau abang kepada budak kecil itu, tidak lain tidak bukan diri saya sendiri. Tersenyum saya ketika melihat tulisan adik saya yang baru memasuki tadika tahun ini, huruf A dan B ditulis secara senget dan terbalik sedikit. Kelakar melihat tulisan a,b,c nya, tapi saya simpan niat hendak tertawa sebaliknya memuji adik saya. Abang borek, adik pun rintik, mungkin sesuai saya gunakan disini, apabila suatu masa dahulu saya sendiri melakukan kesilapan itu. Lebih teruk, habis dinding rumah saya conteng dengan huruf A terbalik kerana kemaruk hendak menulis A,B,C. Hasilnya saya dapat 'C' dari ibu ataupun cubit. Itulah diri kita sewaktu masa dulu, belajar tulis dan baca dari seawal usia dimulakan dengan A,B,C atau alif, ba, ta. Pemahaman kita tentang perkataan dan formula yang susah pada hari ini, tidak mungkin berlaku tanpa mempelajari asas bahasa ini. Perkataan fatamorgan...