Skip to main content

Madah Hati Di Aidilfitri

Madah Hati Di Aidilfitri



Bukan sahaja amalan sunat kita pertingkat, tetapi maksiat mata, telinga dan rasa hati juga wajib diperangi. Malah, meninggalkan mengumpat di siang hari itu hakikatnya lebih utama daripada solat malam. Didik, tekan dan sesahlah jiwa agar mampu MEMAAFKAN dan MELUPAKAN.
Entri dalam blog ini yang paling mendapat komen, ulasan dan perhatian ialah BERILAH KEMAAFAN itu. Begitu sukar, tetapi itulah yang menjadi penghalang kita menuju Allah. Sesuatu yang paling sukar itu sebenarnya "marhalah" yang paling sukar dalam jalan mujahadah kita. Ingat saudara/i ku, teliti dengan sedalamnya apa yang paling sukar dan menusuk hatimu saat ini dan kebanyakkan saat-saat mu dalam kehidupan ini. Hingga terasa dalam hatimu, "kalaulah masalah@orang@perkara ini selesai... maka tenanglah hidup ku. Kenapa yang satu ini cukup mengganggu aku?"

Sebenarnya, itulah, dialah, perkara itulah... jika dapat diatasi berpandukan akidah, syariat dan akhlak yang baik, akan membawa kita jauh ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah. Yang paling sukar itulah MAHAR cinta Allah. Allah letakkan mahar itu mungkin pada... manusia yang paling kau "benci", mungkin pada perkara yang paling ingin kau lari daripadanya, mungkin kepada "penyakit" yang paling kau sedang hadapi kini atau apa-apa sahaja yang paling menekan, menyusahkan dan membimbangkanmu!

Sahabatku, jangan lari. Tetapi hadapi. Jangan mengelak , tetapi berdepanlah. Terimalah realiti walaupun pahit atau pedih amat. Itulah anak tangga yang kau mesti pijak untuk melonjak ke daerah tinggi. Jika kita lari, pasti anak tangga yang sama akan memburu dan menghantui kita dalam rupa yang berbeza tetapi mesejnya tetap sama. Kita tidak akan naik ke kelas atas, kita selamanya akan berada di kelas itu juga. Begitulah kata mereka yang arif, cara Allah mendidik kita dalam universiti kehidupan ini.

Temanku, dunia ini adalah sebuah sekolah. Kita di sini bukan untuk didera, tetapi untuk ditempa... dididik oleh MURABBI paling agung dengan mehnah (ujian), qada' serta qadar-Nya. Pelajaran itu kekadang diletakkan Allah pada manusia lain, pada peristiwa, pada kejadian, pada penyakit, pada kegagalan, pada kejayaan... ya selamanya kita akan dididik. Berterus-terusan. Hingga layak kita menerima sekalung ijazah bernama Qalbun Salim (hati yang sejahtera).

Di mana kita dalam "Universiti Kehidupan" ini? Masih bertatih dalam "sekolah rendah" yang tidak pernah meningkat kelas? (masih mengeluh dan berontak bila diuji?) Atau masih di "sekolah menengah" yang masih terkial-kial menduduki peperiksaan yang sama tahun demi tahun? (kekadang tenang kekadang resah bila diuji) Atau paling malang masih diperingkat "tadika" yang masih tidak matang, alpa dan masih terus ingin bermain-main? Tidak teringinkah kita menjadi graduan-graduan yang lulus pangkat pertama lalu melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan MA dan Ph.d? (Di situlah "bersemanyam"nya para sahabat Rasulullah dan para waliullah yang tersenyum bila diuji)

Aduh, madrasah Ramadhan ini semakin sampai ke hujung. Ketika para Salafussoleh membawa kurnia keampunan dan cinta yang begitu tinggi dan indah apa yang kita bawa untuk diri ini? Ya, Allah... pada kami hanya ada takut dan harap. Takut kemurkaan-Mu. Harap keampunan-Mu. Lalu, hatiku bermadah lagi... MADAH HATI DI AIDIL FITRI


MAHAR CINTA SYAWAL

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!

Comments

Popular posts from this blog

Bersabarlah Duhai Hati

Bersabarlah Duhai Hati Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Liha...

Alam Roh Yang Berbeza

Alam Roh Yang Berbeza Pada suatu hari, Abu Bakar r.a telah ditanya oleh seorang sahabat tentang ke mana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a : "Ruh itu menuju ke tujuh tempat" · Ruh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adni.  · Ruh para ulama menuju ke syurga Firdaus.  · Ruh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.  · Ruh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka.  · Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.  · Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.  · Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka disiksa beserta jasadnya sampai hari kiamat. Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa : "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah" · Orang-orang yang mati syahid.  · Orang-orang ...

ABC Dan Nama

ABC Dan Nama "Abang, betul tak adik tulis huruf ini?",  pinta seorang adik kecil kepada abangnya. Lelaki itu atau abang kepada budak kecil itu, tidak lain tidak bukan diri saya sendiri. Tersenyum saya ketika melihat tulisan adik saya yang baru memasuki tadika tahun ini, huruf A dan B ditulis secara senget dan terbalik sedikit. Kelakar melihat tulisan a,b,c nya, tapi saya simpan niat hendak tertawa sebaliknya memuji adik saya. Abang borek, adik pun rintik, mungkin sesuai saya gunakan disini, apabila suatu masa dahulu saya sendiri melakukan kesilapan itu. Lebih teruk, habis dinding rumah saya conteng dengan huruf A terbalik kerana kemaruk hendak menulis A,B,C. Hasilnya saya dapat 'C' dari ibu ataupun cubit. Itulah diri kita sewaktu masa dulu, belajar tulis dan baca dari seawal usia dimulakan dengan A,B,C atau alif, ba, ta. Pemahaman kita tentang perkataan dan formula yang susah pada hari ini, tidak mungkin berlaku tanpa mempelajari asas bahasa ini. Perkataan fatamorgan...