Skip to main content

Jangan Berumah Di Tepi Pantai

Jangan Berumah Di Tepi Pantai




“Apa pandangan anakda berkenaan isu Kartika yang disangkal oleh Sisters In Islam (SIS)? Terhadap hukuman yang dikenakan” Tanya bonda kepada penulis.

Penulis diajukan soalan panas, sepanas isu yang sedang rancak diperkatakan tentang relevan penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam mempertahankan hak asasi wanita Islam di negara.

Penulis menyemak kembali isu ini selepas terngandah dari lamunan pada tragedi gempa bumi yang menyayat hati melanda daerah Sumatera. Isu yang diketengahkan oleh Sisters In Islam bukan perkara baru, dan banyak lagi isu-isu panas yang telah disengajakan menepuk air di dulang menaikkan api amarah golongan sarjana Islam yang masih mempertahankan syari-‘at yang telah diwartakan dalam Islam.

Rasa tidak puas hati mereka disuarakan secara terbuka. Mereka lupa tindakkan dangkal itu bakal menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam, tidak mustahil akan menyebabkan berlakunya perpecahan. Inilah dikatakan Islam liberal.

Kadang-kadang penulis lihat kita seolah-olah memisahkan sesetengah perkara dari Islam dan menilai sesuatu perkara bukan menurut perspektif Islam. Mungkin mereka bercakap tentang Islam, namun tiada satu pun hujah mereka yang dikaitkan dengan sumber Islam, hanya berpuas hati pada dalil sahih, tapi tidak pernah memahami di sebalik kesahihan dalil tersebut dari sisi perbahasan ulama’ mengenainya.

Kita mungkin hebat dari segi fikrah tetapi kadang-kadang jahil untuk sesetengah perkara. Menjadi muslim yang ideal bukan sahaja melalui kefahaman dan perilaku, tetapi meliputi cara fikir terhadap semua perkara dalam kehidupan.

Jauh panggang dari api.

SISTERS IN ISLAM (SIS)

Pertubuhan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam memperjuangan beberapa aspek bersangkutan hal kebajikan kaum wanita muslim dan ia tidak boleh dinafikan. Suara mereka mewakili kaum hawa yang ditindas melalui hukum al-Quran dan as-Sunnah yang bertentangan dengan hak asasi kemanusian bersandarkan dalil lain yang langsung tidak sarjana.

Kelancaran proses mahkamah yang mesti diperkemaskan agar wanita muslim tidak menderita digantung tidak bertali, adalah di antara subjek yang banyak disentuh oleh sukarelawan SIS yang amat komited.

Mereka amat teruja dan optimis, dan mampu mengiyakan golongan pertengahan apatah lagi golongan bawahan yang hanya tunggu disuap bulat-bulat. Namun mereka seolah-olah mengali kubur sendiri kerana gagal dan bersikap pesimis dalam memahi Islam yang sebenar dan hikmah perlaksanaan hukum syari-‘at itu sendiri.

Sandaran hujah yang hanya cukup sekadar menilai luaran daripada dalaman hingga meninggalkan kesan teramat besar. Niat yang dianggap baik dan menjamin sistem kehidupan cuba dipertahankan dan membebalkan hati dari menerima pandangan mereka yang ahli.

Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya telah mengundang resah di hati penulis dan juga institusi sarjana Islam di negara kita. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita muslim di negara kita.

Menentang keras tuduhan yang dilontarkan yang memprejudiskan hak wanita.

Meminta hak kesamarataan hak dalam undang-undang Islam.

Perbuatan mendera isteri oleh ustaz atau oleh bukan ustaz tetapi atas nama agama, memutarbelikan hujah untuk memenangkan diri misalnya berkata, Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami, tetapi tiada hadith yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri, pecah amanah, pengotor pada pakaian dan penampilan diri, akan mengeruhkan keadaan bukannya bersikap untuk faham disebalik ayat hukum tersebut.

Keperluan supaya mentafsirkan semula al-Quran, dengan alasan mufassir klasik Islam semuanya lelaki belaka masih lagi menjadi agenda mereka yang mesti dijayakan. Tersentak seketika hati penulis, apakah kita menilai kerana jantina seseorang bukan pada hujah yang dikemukan.

Inilah ujian terbesar umat Islam kerana terpaksa berperang bukan sahaja dengan idealogi barat tapi pemikiran yang di bawa oleh umat Islam itu sendiri, apakah mereka tidak pernah memahami kehendak al-Quran dan Hadith baginda s.a.w dalam erti kata yang sebenarnya?

Perempuan seperti ini mahu manusia melihat dan menilainya dengan pandangan hawa nafsu amarah semata-mata. Sedangkan hawa nafsu manusia itu, kehendaknya seperti air laut, yang makin diteguk makin haus. Dia terlupa bahawa manusia tidak mungkin dapat dipuaskan, apatah lagi untuk memuji sebagai balasan.

Ingatlah, bukan kesenangan akan dicapai, malah akan mengundang kemudharatan yang berpanjangan.

Jangan bina rumah di tepi pantai, kalau takut dilambung ombak.

SYARI-‘ATULLAH DAN SUNNAHTULLAH

Tanpa kita sedari dari fikiran datangnya perasaan, dan dari perasaan akan lahirnya tindakan. Ummah yang malas berfikir tidak akan mampu untuk melahirkan apa-apa perasaan apatah lagi tindakan yang mampu mengubah dunia.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, kemunduran Muslim disebabkan tidak memberikan kesimbangan dalam mematuhi Syariat dan Sunnah Allah. Segala pelajaran dari alam hanya diperolehi dari kajian teliti bukan Muslim.

Sebagai Muslim kita seharusnya menjadi manusia yang sentiasa melihat kepada Sunnah Allah dan mempelajari apa yang Allah tarbiahkan kepada kita melalui Alam Semulajadi. Sangat sedih jadinya, ada yang mempertahankan gagasan pembelajaran akidah melalui Ilmu Kalam, tetapi sebahagian mereka turut bermusuh dengan seruan akal. Ini membuktikan kerapuhan kepercayaan membuta tuli terhadap teks yang diangkat sebagai subjek sembahan.

Muslim seharusnya memahami roh beribadah, sekiranya betul-betul mahu menolak materialisme semata. Ia bukan soal Sufi Tasawwuf atau falsafah putar belit, tapi ia adalah maksud beragama sebagai jalan berhubung dengan Tuhan dengan memahami carakerja-Nya membentuk Alam (sunnahtullah).

Di sinilah rasionalnya penulis menegaskan tentang keperluan memahami dan menghayati konsep Syari-‘atullah dan Sunnatullah. Bahawa untuk seorang Muslim itu sempurna keIslamannya, dia bukan hanya dituntut kepada mematuhi Syari-‘at Allah Taala yang dibentangkan di dalam kitab Wahyu, tetapi harus juga mematuhi Sunnah-Allah Taala yang dibentangkan di dalam kitab Alam. Mematuhi hukum alam (law of nature), adalah berkaitan Hukum Sunnah-Allah.

Sekularisma bukan hanya pada mengingkari agama. Menolak sains itu juga adalah sekular. Sama ada menolak Syari-‘atullah atau pun mendurhakai Sunnatullah. Seorang saintis yang menolak agama, sama sahaja jenayahnya dengan ahli agamawan yang menolak sains.

Bahawa manusia yang tidak tunduk kepada ketentuan Allah Taala terhadap mereka adalah manusia durhaka. Merekalah makhluk asing di alam ini yang tidak layak menghuni di bawah satu rumpun. Mereka kufur di tengah-tengah ketaatan sekalian alam kepada Tuan mereka.

Tetapi…

Andai alam ini dilihat tunduk kepada Allah kerana mematuhi hukum alam, tidakkah manusia juga merupakan sebahagian daripada alam itu sendiri? Bahawa interaksinya dengan alam, dan interaksinya sesama manusia, turut berlegar pada apa yang dinamakan sebagai hukum alam?

Justeru itu, jika manusia muslim mahu benar-benar menjadi muslim, cukupkah sekadar dirinya mematuhi hukum wahyu tetapi kemudiannya membelakangkan hukum alam? Sesungguhnya keIslaman seorang Muslim sama sekali tidak akan sempurna, sehingga beliau menyerah diri secara total kepada segala yang diatur dan ditentukan Allah Taala ke atas dirinya.

Kalau sudah tahu diri tidak pandai berhujah, tidak usah berumah di tepi pantai kelak akan membinasakan diri sendiri.

Jadilah muslim hakiki yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam, bukannya lebih sudu dari kuah. Moga tidak terlopong dosa dari amal kebaikan sebelum ajal mengundang kita pulang ke pangkuan-Nya.

ameen

Comments

Popular posts from this blog

Bersabarlah Duhai Hati

Bersabarlah Duhai Hati Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Liha...

Alam Roh Yang Berbeza

Alam Roh Yang Berbeza Pada suatu hari, Abu Bakar r.a telah ditanya oleh seorang sahabat tentang ke mana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a : "Ruh itu menuju ke tujuh tempat" · Ruh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adni.  · Ruh para ulama menuju ke syurga Firdaus.  · Ruh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.  · Ruh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka.  · Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.  · Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.  · Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka disiksa beserta jasadnya sampai hari kiamat. Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa : "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah" · Orang-orang yang mati syahid.  · Orang-orang ...

ABC Dan Nama

ABC Dan Nama "Abang, betul tak adik tulis huruf ini?",  pinta seorang adik kecil kepada abangnya. Lelaki itu atau abang kepada budak kecil itu, tidak lain tidak bukan diri saya sendiri. Tersenyum saya ketika melihat tulisan adik saya yang baru memasuki tadika tahun ini, huruf A dan B ditulis secara senget dan terbalik sedikit. Kelakar melihat tulisan a,b,c nya, tapi saya simpan niat hendak tertawa sebaliknya memuji adik saya. Abang borek, adik pun rintik, mungkin sesuai saya gunakan disini, apabila suatu masa dahulu saya sendiri melakukan kesilapan itu. Lebih teruk, habis dinding rumah saya conteng dengan huruf A terbalik kerana kemaruk hendak menulis A,B,C. Hasilnya saya dapat 'C' dari ibu ataupun cubit. Itulah diri kita sewaktu masa dulu, belajar tulis dan baca dari seawal usia dimulakan dengan A,B,C atau alif, ba, ta. Pemahaman kita tentang perkataan dan formula yang susah pada hari ini, tidak mungkin berlaku tanpa mempelajari asas bahasa ini. Perkataan fatamorgan...