Skip to main content

Keberkatan Bersahur

Keberkatan Bersahur


Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w., Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1923).

Maksud keberkatan itu ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadah sahur tersebut. Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani, keberkatan sahur itu diperoleh melalui amalan mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadat serta menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar.

Selain itu, ia menjadi sebab untuk orang yang berpuasa bersedekah kepada orang lain, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur. (Rujuk al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 120).

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadat puasa orang Islam dengan ibadat puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).

Sabda Rasulullah s.a.w.: Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur. (Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no. 643).

Ibadat sahur adalah ibadat yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.

Oleh itu, Nabi s.a.w. amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda Baginda s.a.w.: Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. (Riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no. 10664).

Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit. (Riwayat Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1919).

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu sehingga azan Subuh sedang dilaungkan.

Firman Allah s.w.t.: Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (al-Baqarah: 187).

Adalah disunahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a. berkata, “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1920).

Kadi Iyadh r.h. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil daripada Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 114).

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat Subuh dikumandangkan.

Menurut Anas r.a., Zaid bin Thabit r.a. berkata, Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w., kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: “Berapa lama antara azan dan sahur?” Baginda menjawab: Kira-kira (membaca) lima puluh ayat. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1921).

Hadis ini digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah 10 minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak boleh lagi makan dan minum.

Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut ialah Rasulullah s.a.w. langsung mendirikan solat Subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w. memulakan dan mengakhirkan sahur Baginda.

Antara hikmah mengakhirkan atau melewatkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk bersahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan bersahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat berasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Comments

Popular posts from this blog

Bersabarlah Duhai Hati

Bersabarlah Duhai Hati Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Liha...

Peperangan Uhud

Petunjuk Arah Peta Tentera berkuda musyrikin yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal menyerang dan mencederakan tentera muslimin Kubu pertahanan tentera Islam sebelum peperangan Tentera memanah muslimin menyerang tentera musyrikin di atas bukit 'Ainain Kubu pertahanan tentera Musyrikin sebelum peperangan Pemanah muslimin turun dari tempat pertahanan mereka (Bukit 'Ainain) unutk berdepan dengan orang musyrikin Persiapan Quraisy Untuk Pertempuran Ganas Makkah dibakar bahang api kemarahan terhadap kaum muslimin. Ini adalah ekoran natijah kekalahannya dipertempuran Badar. lanya adalah suatu tragedi kerana kekalahan dan kematian pemuka-pemukanya. Desakan menuntut bela di atas kematian wira-wira Quraisy memuncak, pihak Quraisy melarang sebarang ratapan di atas kematian itu, dan melarang penebusan segera ke atas tawanan perang, supaya tidak dilihat oleh kaum muslimin betapa berdukacitanya mereka dengan peristiwa yang tragedik itu. Selepas peperangaan Badar sel...

Alam Roh Yang Berbeza

Alam Roh Yang Berbeza Pada suatu hari, Abu Bakar r.a telah ditanya oleh seorang sahabat tentang ke mana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a : "Ruh itu menuju ke tujuh tempat" · Ruh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adni.  · Ruh para ulama menuju ke syurga Firdaus.  · Ruh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.  · Ruh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka.  · Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.  · Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.  · Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka disiksa beserta jasadnya sampai hari kiamat. Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa : "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah" · Orang-orang yang mati syahid.  · Orang-orang ...